Monday, November 22, 2010

SISTEM KESELAMATAN DALAM HAQ AL-JIWAR ERA RASULULLAH S.AW

Sistem keselamatan haq al-jiwar adalah hak perlindungan keluarga di mana pada dasarnyahaq al-jiwar ini adalah tindak balas Rasulullah terhadap masyarakat Quraisy Mekah yang telah menimbulkan penentangan terhadapnya. Penulisan ini ingin menjelaskan lagi konsep sebenar haq al-jiwar dan apa yang terkandung di dalam haq al-jiwar. Antara kata kunci haq al-jiwar ialah perlindungan keluarga, haq al-jiwar, al-mujir dan al-mustajir. Antara kitab-kitab yang menjadi sumber rujukan ialah Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisham, Muhammad at Macca oleh W.Montgomery Watt dan Sirah Nabawiyah dalam Cahaya al-Quran dan al-Sunnah oleh Muhammad bin Muhammad Abu Syuhbah sebagaimana yang akan dijelaskan nanti, serta beberapa buah kamus arab sebagai rujukan untuk definisi al-jiwar, antaranya Kamus Oxford Arab-Melayu dan Melayu-Arab oleh Abd Rauf Hassan, selain itu Kamus Lengkap Mutiara Ilmi oleh Mustafa Rusydi, Kamus al-Marbawi, Kamus al-Kauthar oleh Husin al-Habsyi dan sebuah lagi kamus iaitu Kamus Khalil oleh Abu Abdullah Hanafi Dollah. Kitab-kitab dan kamus-kamus inilah yang menjadi sumber rujukan sepanjang penulisan ini.


Haq al-jiwar berlaku di atas beberapa sebab, di antaranya ialah gangguan dan fitnah kaum Quraisy terhadap golongan lemah yang memeluk Islam. Mereka menyiksa orang yang memeluk Islam dan yang mengikuti Rasullullah s.a.w. Setiap kabilah menangkap kaum Muslimin yang berada di dalam kabilahnya, kemudian menahan serta menyiksa mereka dengan pukulan, membiarkan kelaparan dan kehausan dan menjemur di bawah terik matahari di kawasan padang pasir Mekah. Dalam kalangan kaum Muslimin, ada yang disiksa dengan teruk, dan ada yang disalib. Namun terdapat sebahagian mereka yang mendapat haq al-jiwar. Walau bagaimanapun, mereka semua telah diberikan haq al-jiwar daripada Allah S.W.T dari kekejaman yang dilakukan oleh kaum Quraisy.

Begitu juga siksaan yang dilakukan ke atas Bilal bin Rabah selepas beliau memeluk agama Islam. Rasulullah s.a.w telah melihat penderitaan yang dialami sahabat-sahabatnya, sedangkan Baginda sendiri dalam keadaan selamat lantaran kedudukannya di sisi Allah S.W.T dan bapa saudaranya Abu Talib, sementara ia sendiri tidak mampu melindungi mereka daripada penderitaan yang dialami, maka Baginda mengarahkan para sahabat supaya berhijrah ke Habsyah. Ini adalah kerana rajanya tidak mengizinkan seorangpun zalim-menzalimi berlaku di sana. Lalu kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah dan mereka mendapat keamanan di Habsyah dengan haq al-jiwar an-Najasyi sehingga mereka dapat beribadah tanpa rasa takut. Sebagaimana an-Najasyi melindungi kaum Muhajirin daripada dua orang lelaki yang diutuskan oleh kaum Quraisy untuk meminta an-Najasyi menyerahkan mereka kepadanya. Dua orang lelaki dari kaum Quraisy yang dimaksudkan itu ialah Abdullah bin Abu Rabiah dan Amru bin al-Ash. Namun an-Najasyi memberi haq al-jiwar kepada kaum Muhajirin setelah diselidik. Rujukan dari Kitab Sirah Nabawiyyah Ibn Hisham.

Selain itu, Ibn Hisham melaporkan melaporkan sahabat-sahabat Rasullullah s.a.w yang berhijrah ke Habsyah telah mendapat berita mengenai penduduk Mekah telah memeluk Islam. Lantaran itu, mereka berhasrat untuk pulang ke Mekah setelah mendapat berita tersebut. Namun ketika mereka hampir tiba di Mekah, baru sampai ke pengetahuan mereka bahawa berita masuk Islamnya penduduk Mekah adalah palsu semata-mata. Lalu, tiada seorang pun daripada mereka berani memasuki Mekah melainkan denganhaq al-jiwar atau mereka masuk secara-cara senyap-senyap.

Selain itu, terdapat bentuk-bentuk penentangan lain yang ditunjukkan oleh Quraisy ialah memboikot Banu Hashim dan Banu al-Mutallib. Pemboikotan meliputi tiga aspek iaitu tidak boleh mengahwini mana-mana orang dari puak yang diboikot, tidak boleh menjalankan urusan perdagangan dengan mereka dan tidak boleh menerima perdamaian dari mereka sehinggalah mereka menyerahkan Nabi Muhammad s.a.w kepada Quraisy untuk dibunuh. Walaupun pemboikotan ini digambarkan berlaku selama tiga tahun, ada sumber yang melaporkan bahawa ia tidaklah berlaku seperti yang digempar gempurkan. Perkara ini boleh dilihat dalam Muhammad at Mecca apabila Watt melaporkan bahawa Banu yang diboikot masih boleh menghantar kafilah perdagangan ke Syria dalam tempoh pemboikotan tersebut.

Haq al-Jiwar:-

Haq al-jiwar menurut Kamus Oxford oleh Abd Rauf Hassan bermaksud bersebelahan atau di samping. Namun menurut kamus ini juga, jika ajara pula bermaksud melindungi atau mempertahankan dan istijar ialah minta perlindungan. Selain itu, menurut Kamus Lengkap Mutiara Ilmi oleh Mustafa Rusydi pula, al-jiwar diberi maksud kejiranan. Manakala ajara dan ijarotan bermaksud melindungi. Berdasarkan kamus al-Marbawi memberi maksud pada perkataan al-jiwar iaitu keamanan. Di dalam Kamus al-Kauthar oleh Husin al-Habsyi al-jiwar bermaksud perihal tetangga, manakala ajara pula ialah melindungi. Walau bagaimanapun, menurut rujukan Kamus Khalil al-jiwar ialah perlindungan.

Haq al-jiwar sebenarnya boleh didefinisikan sebagai hak perlindungan keluarga atau memberi perlindungan atau mempertahankan seseorang yang berada di bawah naungan dari sebarang bahaya. Barangsiapa yang mengganggu orang yang mendapat perlindungan, bermaksud orang tersebut telah mencerobohi hak asasinya tanpa pengetahuan orang yang dipersetujui untuk melindungi. Sitem ini telah menjadi tradisi dalam masyarakat jahiliyyah. Namun setelah kedatangan Islam juga sistem ini masih digunapakai lagi. Ini bermakna, Islam tidak menolak sistem ini dan sistem ini bukan satu perkara yang bertentangan dengan Islam. Jika Islam melarangnya, bermakna sistem ini tidak boleh digunapakai.

Haq al-jiwar sebagai salah satu cara sistem keselamatan alternatif:

Haq al-jiwar boleh digolongkan sebagai salah satu cara atau jalan alternatif sistem keselamatan di era Rasullullah s.a.w yang diberikan oleh ahli keluarga kepada ahli keluarga yang lain. Ini adalah kerana keberkesanan dalam perlindungan tersebut terhadap ahli keluarga sendiri daripada terus dianiaya oleh pihak Quraisy. Maka inilah di antara sebab haq al-jiwartergolong dalam sistem keselamatan dan sebagai jalan alternatif kepada al-mustajir. Sebagaimana yang telah berlaku di dalam kisah Utman bin Ma’zun dan al-mujirnya al-Walid bin al-Mughirah. Uthman seumpama mendapat satu jalan keselamatan alternatif baginya setelah menerima hak perlindungan daripada al-Walid, ini adalah kerana Uthman tidak lagi disiksa oleh kaum Quraisy sepertimana yang diterima umat Islam yang lain. Sumber sejarah Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham.

Selain itu, kita dapat lihat di mana Rasullullah s.a.w mendapat perlindungan daripada Muti’m bin Adiy, ini juga antara sistem keselamatan alternatif bagi Baginda semasa perjalanannya ke Taif. Bukti dapat dilihat dimana Baginda berjaya memasuki kota Mekah dengan selamat selepas kembali daripada dakwah ke Taif. Baginda juga dapat melakukan tawaf di Kaabah dengan kawalan rapi yang diberikan oleh ahli keluarga al-Muti’m. Sumber sejarah Sirah Nabawiyyah oleh Muhammad bin Muhammad Abu Syuhbah.

Namun begitu, setelah al-mustajir melucutkan haq al-jiwar ini, maka secara automatiknya mereka tidak lagi mendapat hak perlindungan yang juga sebagai sistem keselamatan alternatif kepada penerimanya. Setelah itu, mereka juga mennerima nasib yang sama yang dialami oleh umat Islam lain yang tidak mendapat haq al-jiwar ini.

Istilah dalam haq al-jiwar dan fungsi-fungsinya:-

Haq al-jiwar tidak lari dari dua perkara iaitu al-mujir dan al-mustajir. Al-mujir ialah orang yang memberi perlindungan dan al-mustajir ialah orang yang diberi perlindungan. Pada kebiasaannya al-mustajir sendiri akan mencari al-mujir untuk melindungi dirinya. Sebagai contoh yang dipetik dari Kitab Sirah Nabawiyah Muhammad bin Muhammad Abu Syuhbah, di mana Rasullullah s.a.w meminta seseorang untuk mencari al-Muti’m bin Adiy untuk melindunginya ketika baginda dalam perjanan pulang ke Taif.

Jika al-mujir bersetuju, mereka akan mengadakan akad dan akan diisytiharkan di khalayak ramai agar al-mustajir tidak diberi tekanan lagi oleh sesetengah pihak dan secara automatik akan menghentikan segala perlakuan-perlakuan yang tidak menyenangkan ke atasnya. Selepas pengisytiharan berlaku, maka bermulalah tugas al-mujir untuk melindungi al-mustajir. Namun, terdapat juga al-mujir yang meminta untuk melindungi al-mustajir. Sebagai contoh, al-Walid meminta untuk melindungi Uthman bin Mazu’n iaitu anak saudaranya sendiri setelah Uthman memulangkan kembali hak perlindungannya. Walau bagaimanapun, Uthman tetap menolak perlawaan al-Walid untuk melindunginya.

Lazimnya, al-mujir adalah dari kalangan bukan Islam dan al-mustajir adalah dari kalangan Islam. Sebagai contoh al-mujir ialah Abu Talib dan al-mustajirnya ialah Rasullullah s.a.w iaitu anak saudaranya sendiri.

Tokoh-tokoh yang pernah terlibat dengan Haq al-Jiwar serta peristiwa yang berlaku:

Di antara tokoh haq al-jiwar dan peristiwa yang berlaku iaitu an-Najasyi terhadap kaum Muhajirin Mekah. Tokoh yang pernah menjadi al-mujir ialah an-Najasyi dan al-mustajirnya ialah para Muhajirin Mekah. Para Muhajirin telah diarahkan oleh Rasullullah s.a.w agar berhijrah ke Habsyah bagi mendapat perlindungan dari an-Najasyi, seorang Raja di Habsyah yang tidak sukakan penindasan berlaku di negaranya. Perlindungan atau haq al-jiwar an-Najasyi ini berlaku ketika puak Quraisy meminta an-Najasyi memulangkan para Muhajirin kepada mereka agar mereka dapat menyiksa lantaran agama yang mereka anuti serta mengeluarkan mereka dari negeri Habsyah, tempat para Muhajirin mendapat keamanan dan ketenteraman. Puak Quraisy telah menghantar Abdullah bin Abu Rabiah dan Amru bin al-Ash bin Wail serta bekalan hadiah buat an-Najasyi dan para panglima perangnya. Kemudian, setelah Abu Talib mengetahui utusan Quraisy dan bekalan hadiah tersebut, Abu Talib lantas menulis bait-bait syair untuk memujuk an-Najasyi agar terus melindungi para Muhajirin. Antara baitnya ialah:
Duhai syairku, bagaimana di tempat jauh
Tersebut terdapat Jaafar
Amru dan para musuh itu adalah sanak saudara sendiri
Apakah tidakan an-Najasyi menyentuh Jaafar
Dan sahabat-sahabatnya
Atau adakah pihak yang berusaha mengacaukan keadaan
Ketahuilah, bahawa engkau orang mulia dan luhur
Hingga orang yang tinggal di tempatmu
Tidak rasa menderita
Ketahuilah, bahawa Allah membekalkanmu
Dengan kekuasaan
Dan sebab-sebab kebaikan yang kesemuanya
Melekat padamu
Engkau seorang dermawan yang berakhlak mulia
Orang jauh dan orang dekat mendapat manfaat darinya.


An-Najasyi meneruskan pemberian haq al-jiwar kepada para Muhajirin dan tidak menerima sebarang hadiah daripada dua utusan Quraisy tersebut, ini adalah kerana an-Najasyi telah mengetahui kebenaran yang telah dilontarkan oleh Jaafar dengan bacaan surah Maryam sehingga menitis air mata an-Najasyi setelah mendengar bacaan Jaafar serta penjelasan yang diberikan para Muhajirin yang lain setelah mereka diuji.

Selain itu, haq al-jiwar Abu Talib kepada Abu Salamah. Ibn Ishak melaporkan dalam kitabnya yang telah dibaiki oleh Ibn Hisham bahawa Abu Talib telah menjadi al-mujir dan Abu Salamah al-mustajirnya. Walau bagaimanapun, orang Musyrikin dari Bani Makhzum telah meluat melihat haq al-jiwar yang diberikan Abu Talib kepada anak saudaranya sendiri. Sedangkan Abu Talib juga telah melindungi anak saudara lelakinya iaitu Muhammad s.a.w.

Ibn Hisham juga melaporkan bahawa Uthman bin Ma’zun mendapat haq al-jiwar daripada al-Walid bin al-Mughirah. Uthman telah mendapat perlindungan pada setiap waktu pagi, petang dan malam.

Selain itu, sebagaimana yang dikatakan kepada Ibn Ishak oleh Muhammad bin Muslim bin Syihab al-Zuhri daripada Urwah dan dari Aishah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah membenarkan permintaan Abu Bakar untuk berhijrah. Abu Bakar merasai Mekah sangat sempit baginya dengan gangguan-ganguan kaum Quraisy dan beliau telah melihat kekejaman orang Quraisy terhadap Rasulullah s.a.w serta para sahabatnya. Abu Bakar pulang semula ke Mekah apabila beliau mendapat haq al-jiwar daripada Ibn al-Dughunnah setelah dua atau tiga hari perjalanannya meninggalkan Mekah.

Muhammad bin Muhammad Abu Syuhbah melaporkan bahawa ketika Rasullullah s.a.w pulang ke Taif semasa mereka tidak menyambut dakwahnya samada membenarkan atau menolongnya, maka Baginda pergi ke Gua Hirak dan telah mengirim seseorang untuk menemui al-Muti’m bin Adiy untuk meminta perlindungannya , lalu al-Muti’m bersedia memberikan perlindungan kepada Baginda s.a.w.

Cara penerimaan dan cara pemulangan Haq al-Jiwar:

Terdapat di antara cara penerimaan dan pemulangan haq al-jiwar ini dengan mengumumkan secara terang-terangan. Sebagai contoh Uthman bin Ma’zun menerima hak perlindungan ini dengan secara terang-terangan dan memulangkannya kembali juga secara terang-terangan sebagaimana dia menerimanya. Al-walid berkata, “ini adalah Uthman datang ke sini untuk mengembalikan perlindunganku kepada ku.” Ketika itu Laqib bin Rabiah sedang duduk bersama puak Quraisy lalu berkata, “ketahuilah segala sesuatu selain Allah adalah batil".

Selain itu, Abu Bakar juga menerima dan memulangkan hak perlindungan daripada Ibn al-Dughunnah secara terang-terangan. Sebagai contoh ketika penerimaan haq al-jiwar Abu Bakar daripada Ibn al-Dughunnah, Ibn al-Dughunnah bangun dan membuat pengumuman, “Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya aku telah melindungi anak Abu Qufahah (Abu Bakar). Maka sesiapapun tidak boleh mengapa-apakannya kecuali dengan baik.” Ketika pemulangannya juga Ibn al-Dughunnah bangun dan membuat pengumuman,“Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya anak Abu Qufahah (Abu Bakar) telah mengembalikan perlindunganku kepadaku. Terpulanglah urusan kalian dengan Abu Bakar".

Jalan perlindungan:

Antara cara Muti’m melindungi Rasullullah s.a.w ialah beliau dan keluarganya berkelengkapan senjata sehingga mereka tiba di masjid. Kemudian beliau telah mengutus seseorang untuk bertemu Rasullullah s.a.w dengan berpesan agar Rasulullah s.a.w masuk ke dalam masjid. Lalu Rasulullah s.a.w masuk ke dalam majid dan melakukan tawaf di Baitullah dan solat di sisinya.

Mengetahui sahnya berlaku haq al-jiwar :

Cara untuk mengetahui berlaku sahnya haq al-jiwar ini sebagaimana ada beberapa yang telah disebutkan pada awal-awal penulisan, iaitu penerimaan al-mujir dan al-mustajir pada berlainan agama. Sebagai contoh, Abu Talib sebagai al-mujir kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu al-mustajirnya. Selain itu, terdapat beberapa keturunan dan bangsa yang tidak boleh memberi haq al-jiwar ke atas keturunan dan bangsa yang lain. Kita boleh lihat sebagaimana contoh Abu Talib seorang Quraisy dan al-mustajirnya Abu Salamah dari Bani Makhzum.

Selain itu, terdapat contoh yang lain di mana ketika Rasullullah s.a.w pulang ke Taif, kemudian Rasullullah s.a.w mengutus seseorang untuk menemui al-Akhnas bin Syariq untuk meminta perlindungannya, lalu al-Akhnas menolaknya dengan alasan bahawa beliau seorang sekutu, dan seorang sekutu tidak boleh melindungi sekutu yang lain. Kemudian Rasullullah s.a.w mengutus seseorang untuk meminta perlindungan daripada Suhail bin Amru pula, lalu Suhail menolak juga permintaan Rasullullah s.a.w dengan alasan bani Amir tidak boleh melindungi seseorang untuk menghadapi Bani Kaab. Kemudian Rasullullah s.a.w mengutus seseorang untuk menemui Muti’m bin Adiy dan meminta perlindungannya, lalu al-Muti’m bersedia memberikan perlindungan kepada Rasullullah s.a.w.

Pengembalian semula haq al-jiwar kerana al-jiwar Allah adalah yang hakiki berbandinghaq al-jiwar manusia:

Penyiksaan tidak akan berlaku jika seseorang itu masih berada di bawah haq al-jiwar. Telah menjadi adat jika berlaku haq al-jiwar, seseorang itu akan terlepas dari siksaan Quraisy, dan sesiapa yang tidak berada di bawah haq al-jiwar, mereka akan disiksa dan dizalimi, sebagaimana yang berlaku terhadap Bilal bin Rabah. Namun begitu setelah diteliti di dalam beberapa sumber sejarah, kebanyakannya al-mustajir seolah-olah tidak kisah akan pergantungan dan perlindungan daripada al-mujir. Ini dapat dikesan melalui kisah-kisah al-mustajir yang akhirnya menamatkan haq al-jiwar dan mereka bersedia bergantung kepada al-jiwar Allah S.W.T semata-mata.

Ini dapat dibuktikan sebagaimana kisah Uthman yang telah memulangkan kembali hak perlindungannya kepada al-Walid iaitu bapa saudaranya sendiri. Ini adalah kerana Uthman tersentuh setelah melihat ujian yang dialami oleh sahabat-sahabat Rasullullah s.a.w, sedangkan beliau sendiri berada di dalam keadaan aman pada setiap waktu di bawah perlindungan al-Walid bin al-Mughirah. Maka Uthman telah bertemu al-Walid dan memulangkan kembali hak perlindungannya. al-Walid bertanyakan kepada Uthman mengenai pemulangan haq al-jiwartersebut, adakah ianya berpunca daripada kaumnya yang menganggu Uthman, lalu Uthman menjawab bahawa beliau bukan diganggu oleh kaum al-Walid, namun Uthman sebenarnya redha dengan perlindungan Allah S.W.T dan beliau tidak akan meminta perlindungan sesiapa lagi melainkan Allah S.W.T. setelah pemulangan yang dilakukannya itu, Uthman telah dipukul sehingga lebam matanya di hadapan al-Walid bin al-Mughirah, namun al-Walid hanya melihat sahaja. Lalu al-Walid meminta anak saudaranya agar Uthman kembali kepada haq al-jiwar, namun Uthman menolak tawaran tersebut. Berkata Uthman: “Sesungguhnya mataku yang sihat ini perlu kepada apa dialami saudaranya di jalan Allah. Demi Allah, aku berada dalam al-jiwar Zat yang lebih perkasa dan lebih kuat daripadamu wahai Abu Abdu Syams".

Selain itu, Abu Bakar telah keluar daripada perlindungan Abu al-Dughunnah. Beberapa orang lelaki Quraisy telah meminta Abu al-Dughunnah agar tidak melindungi Abu Bakar kerana Abu Bakar akan menangis dan akan tersentuh hatinya apabila membaca apa yang dibawa Muhammad, tambahan lagi, Abu Bakar mempunyai susuk tubuh badan yang cantik. Oleh itu, mereka khuatir akan menimbulkan fitnah ke atas kanak-kanak, wanita dan golongan yang lemah dalam kalangan mereka. Lalu Abu al-Dughunnah menemui Abu Bakar dan memberitahu Abu Bakar bahawa beliau tidak mahu melindunginya, dan menyuruh Abu Bakar masuk ke dalam rumah dan buat apa sahaja yang Abu Bakar kehendaki. Lantas Abu Bakar meminta kebenaran daripada Abu al-Dughunnah untuk memulangkan haq al-jiwarnya dan Abu Bakar lebih redha dengan perlindungan Allah S.W.T, kemudian Abu al-Dughunnah menerima pemulangan haq al-jiwar tersebut.

Haq al-jiwar adalah salah satu langkah yang bijak yang dilakukan Rasullullah s.a.w sebagai penentangan terhadap Quraisy. Sistem ini benar-benar telah memberi perlindungan terhadap umat Islam yang dizalimi Quraisy. Walaupun begitu, satu hakikat yang perlu diakui ialah perlindungan yang ditawarkan menerusi haq al-jiwar tidaklah sampai ke tahap yang boleh menyebabkan pihak Islam akan menggadaikan prinsip Islam hanya kerana inginkan perlindungan. Ini adalah kerana apabila berlaku keadaan di mana prinsip Islam perlu ditegakkan, maka pihak Islam tidak akan teragak-agak untuk melucutkan haq al-jiwar. Namun disebalik perlindungan manusia, sebenarnya terdapat satu lagi perlindungan yang tidak dapat dilihat dari mata kasar, tapi boleh di perolehi dan dirasai perlindungan ini bagi insan yang sangat-sangat percaya akan perlindungan Allah S.W.T. Inilah sebenar-benar al-jiwar yang lebih hakiki.

ZUNNULMISR

My photo
"sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahannya.." (al insyirah_6)