PENYEBARAN DAKWAH ISLAM DI ACEH
Metode penyebaran dakwah
Perdagangan
Pada tahap permulaan, proses kemasukan Islam adalah melalui perdagangan. Kesibukan lalu-lintas perdagangan pada abad ke-7 hingga ke-16 menjadikan para pedagang Muslim dari Arab, Persia dan India turut mengambil bahagian dalam perdagangan dari negeri-negeri di sebelah Barat, Tenggara dan Timur Benua Asia. Perkembangan kerajaan Islam Samudra Pasai boleh dilihat melalui perkembangan oleh aktiviti pelayaran dan perdagangan internasional melalui Selat Melaka yang telah wujud sejak abad pertama Masihi lagi. Kemungkinan pada masa pemerintahan Sultan Malik as-Salih sudah ada hubungan dengan Cina sebagaiman dalam catatan sejarah dinasti Yuan bahawa pada tahun 1282 Masihi, seorang utusan Cina bertemu dengan salah seorang menteri dari kerajaan Sumatera di Quilon yang meminta agar raja Sumatera (Samudra) mengirimkan dutanya ke Cina. Menurut dalam sebuah buku yang bertajuk Suma Oriental of Tome Pires menyatakan bahawa pada awal abad ke-16 Masihi mungkin adalah tempoh kegemilangan kerajaan Samudra Pasai dengan pelbagai kemajuan dari segi politik, keagamaan dan terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Dicatatkan juga bahawa kerajaan Samudra Pasai telah menggunakan mata wang seperti wang kecil yang disebut ceitis, ada yang diperbuat daripada emas yang disebut dramas yang dibandingkan dengan mata wang Portugis crusade, iaitu 9 drama bersamaan dengan 1 crusado juga bersamaan dengan 500 cash. Bahkan kerajaan Samudra Pasai menghasilkan komoditi perdagangan eksport seperti lada, sutera, kapur barus dan sebagainya. Oleh yang demikian, para pedagang Muslim yang datang menyinggah memanfaatkan peluang mereka bukan sahaja sebagai pedagang bahkan juga sebagai pendakwah untuk turut menyebarkan Islam kepada golongan bangsawan dan pemerintah bahkan juga kepada penduduk tempatan.
Perkahwinan
Kerajaan Samudra Pasai mempunyai peranan penting dalam penyebaran agama Islam di Asia Tenggara.Sultan Malik al-Salih telah berkahwin dengan puteri raja dari Perlak untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan menggunakan undang-undang Islam dalam pentadbiran kerajaan. Menurut Ibnu Batutah, pada masa pemerintahan Sultan al-Malik al-Zahir, baginda gemar bergaul dengan para ulama untuk menyelesaika hal-hal yang berkaitan dengan agama. Selain daripada itu, Melaka juga menjadi kerajaan yang bercorak Islam kerana mempunyai hubungan yang erat dengan kerajaan Samudra Pasai iaitu melalui perkahwinan antara putera-putera sultan dari Pasai dan Melaka sehingga pada awal abad ke-15 atau pada sekitar tahun 1414, berkembanglah kerajaan Islam Melaka yang diperintah oleh Parameswara ketika itu.
Pemerintahan
Islam juga tersebar dengan lebih meluas apabila pemerintah kerajaan Samudra Pasai telah memeluk agama Islam. Melihatkan pemerintahnya menganut agama yang baru justeru penduduknya juga turut memeluk agama yang dipeluk oleh pemerintah mereka. Pemerintah dan penduduk kerajaan Samudra Pasai telah pun memeluk agama Islam namun berfahaman Syiah. Oleh sebab pada abad ke-13 Masihi ketika itu, seluruh Mesir dan Haramin telah dikuasai oleh kerajaan Mamluk yang bermazhab Sunni, maka misi kedatangan Syeikh Ismail ke Sumatera adalah untuk menukar mazhab Syiah kepada Sunni.
Pusat penyebaran dakwah
Penyebaran Islam juga dilakukan melalui pembinaan beberapa buah pondok atau lebih dikenali denganpesantren sebagai pusat pendidikan dan keagamaan diselenggarakan oleh para ulama. Atas usaha para ulama, telah didirikan beberapa buah zawiyah atau dayah sebagai tempat mengajar dan mendalami agama Islam. Dengan adanya dayah-dayah ini, Islam (Syiah) telah dapat disebarkan dengan meluas di seluruh pelosok wilayah kekuasaan Perlak. Dayah ini telah menjadi pusat kegiatan dakwah Islamiyah.Justeru itu, Islam mula bertapak kukuh di sekitar pesisir utara pulau Sumatera.
Kesimpulannya, dengan kedatangan Islam, petempatan-petempatan orang Islam mula terbentuk di kawasan tersebut sehingga berkembang menjadi antara salah sebuah kerajaan Islam yang kuat di Asia Tenggara. Penyebaran Islam tidak terhad untuk golongan pemerintah mahupun golongan bangsawan.Namun demikian, penduduk tempatan turut sama memeluk agama Islam. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan taat setia kepada pemerintah mereka di samping mewujudkan hubungan yang baik dengan pendakwah Islam dan juga kepada para pedagang.
KESAN PERKEMBANGAN INTELEKTUAL DI ACEH
Sepanjang penyebaran dakwah Islam di kerajaan Aceh, pelbagai perubahan telah berlaku. Perubahan tersebut adalah dari aspek politik, sosial dan budaya mereka sendiri. Ini bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri yang syumul iaitu mencakupi keseluruhan aspek kehidupan ini. Justeru itu, kita akan meneroka beberapa kesan hasil dari penyebaran Islam yang telah berlaku.
Sistem pemerintahan dan kehakiman
Penggunaan gelaran Sultan adalah perubahan paling jelas sejak kedatangan Islam. Ini kerana, gelaran Raja yang digunakan sebelum ini lebih berunsurkan agama Hindu. Negeri yang rajanya menggunakan gelaran Sultan memberi gambaran raja tersebut beragama Islam. Sebagai contoh, Sultan Alaiddin Johan Syah yang mendirikan kota Darussalam adalah raja pertama yang menggunakan gelaran tersebut dalam kerjaan Aceh. Raja dipilih atas persetujuan ulama’ dan pembesar-pembesar yang juga merupakan ahli adat. Syarat-syarat seseorang untuk menjadi Sultan adalah merdeka, dewasa, berpengetahuan dalam hukum dan adil di samping beberapa syarat lain. Jika ditinjau dengan teliti, syarat-syarat tersebut sebenarnya adalah syarat-syarat daripada hukum Islam yang berasal dari pemerintahan Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri.
Selain itu, golongan Ulama’ turut diangkat sebagai penasihat Sultan. Golongan ulama’ ini akan menasihati Sultan dalam hal-hal yang berkaitan agama. Mereka juga ditugaskan untuk memberi penerangan rakyat tentang keagamaan. Di samping itu, mereka juga memainkan peranan sebagai kadhi Sultan dalam memutuskan hukum-hukum dalam negeri. Khidmat mereka juga diperlukan untuk menikahkan orang yang tidak berwali dan lain-lain hal yang berkaitan dengan keagamaan.
Di samping itu, undang-undang Islam atau yang bercorak Islam telah diwujudkan. Di Aceh, terdapat dua dokumen penting iaitu, Kanun Meukuta Alam yang juga dikenali sebagai Kanun Syarak Aceh atauKanun Aceh sahaja. Sebuah lagi dokumen adalah Adat Meukuta Alam atau disebut sebagai Adat Acehsahaja. Kanun Aceh dianggap sebagai sebuah perlembagaan Islam. Ini kerana di dalamnya tercatat Dasar Asasi Negara yang meliputi hukum syarak Islam, adat resam syarak Islam dan kanun syarak Islam. Ia juga menyentuh tentang tanggungjawab seorang penguasa serta tentang pentadbiran Negara.
Sistem sosial dan ekonomi
Banyak nilai-nilai murni yang telah berjaya diterapkan oleh Islam kepada penduduk kerajaan Aceh. Dari golongan atasan hinggalah kepada rakyat, nilai-nilai murni ini subur dalam diri masing-masing. Nilai bekerjasama atau dikenali sebagai ta’awun dalam bahasa Arab adalah nilai yang sangat jelas diamalkan. Sebagai contoh, semasa Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhamad (s.a.w.), mereka akan mengadakan kenduri secara besar-besaran. Kenduri ini akan diadakan di Istana, rumah-rumah Pembesar dan di masjid-masjid. Pada majlis tersebut akan diadakan majlis berzanji beramai-ramai dan berzikir. Seterusnya, tetamu akan dijamu dengan hidangan seperti daging, telur asin dan sebagainya.
Selain itu, perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat juga meluas. Ini berbeza ketika Aceh di bawah pengaruh Hindu-Buddha di mana pendidikan lebih tertumpu kepada golongan istana atau elit sahaja. Pendidikan Islam ini meliputi institusi pendidikan formal dan juga tidak formal. Dalam pendidikan tidak formal, peranan yang dipegang oleh istana masih diteruskan. Di Aceh, mereka dikenali sebagai Syaikh al-Islam dan Kadi Malik al-Adil. Pada masa yang sama, masjid dan surau juga menjadi pusat pengajian Islam yang penting. Masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadat dan pusat ilmu malahan masjid berperanan sebagai pusat pengajian tinggi atau universiti. Jamiah Bait al-Rahman contohnya, mempunyai beberapa fakulti yang dikenali sebagai “dar”. Sebagai contoh, Darul Ahkam (Fakulti Hukum-hakam atau Undang-undang), Darul Tib (Fakulti Perubatan), Darul Siyasah ( Fakulti Politik) dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama iaitu di zaman Ratu Safiatuddin, telah berlakunya kebangkitan peranan golongan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan. Antara perkara utama yang dituntut adalah keterbukaan peluang pendidikan kepada golongan wanita. Di samping itu wanita juga turut memainkan peranan dalam institusi kehakiman. Hal ini terjadi apabila majlis Mahkamah Rakyat yang dibentuk oleh Sultan Iskandar Muda telah membenarkan penyertaan dari kaum wanita. Isteri baginda sendiri yang memimpin majlis tersebut telah menambahkan anggota wanita sehingga menjadi 22 orang berbanding kaum lelaki yang hanya berjumlah 8 orang. Dalam persidangan majlis ini, beberapa undang-undang telah berjaya ditetapkan. Antaranya, dalam aspek kekeluargaan, sebuah rumah perlu disediakan kepada anak perempuan manakala suami harus menyerahkan hartanya kepada isterinya sebanyak 50%.
Selain itu, kerajaaan Aceh juga telah berjaya menyusun ekonomi mereka dengan membentuk dua sistem pengurusan yang bertaraf kementerian. Yang pertama adalah Balai Baitulmal dan yang kedua ialah Balai Furdah. Balai Baitulmal atau Kementerian Kewangan ditugaskan untuk menjaga urusan perbendaharaan Negara yang bersumber daripada zakat, jizyah, kharaj dan keuntungan daripada perusahaan kerajaan. Sedangkan, Balai Furdah atau Kementerian Perdagangan berperanan menjaga urusan perdagangan dalam dan luar negeri Aceh.
Kesenian dan kebudayaan
Pengaruh Islam dalam bidang keseniaan di Asia Tenggara amnya dan di Kerajaan Aceh khusunya sangatlah banyak. Ianya meliputi pelbagai aspek seperti seni bina, seni ukir, epigrafi, kaligrafi, seni logam dan sebagainya. Perubahan yang berlaku ini menonjolkan lagi perbezaan antara warisan seni sebelumnya dengan kesenian Islam.
Pertama sekali kita akan menyentuh kesan atau pengaruh Islam dalam seni bina di Kerajaan Aceh. Antara seni bina yang mendapat sentuhan Islam adalah masjid, surau atau madrasah, istana, rumah dan sebagainya. Dalam seni bina masjid, pada peringkat awal Islam, masjid dibina dengan ringkas dan mudah tanpa sebarang unsur keseniaan Islam. Kemudiaannya, masjid-masjid mula dibina dalam bentuk yang kukuh, besar dan indah. Sesebuah masjid mempunyai beberapa ciri asasi. Antaranya ialah di pucaknya tedapat kubah, mempunyai mihrab yang menunjukkan arah kiblat dan mempunyai mimbar tempat khatib berkhutbah. Kesemua ciri-ciri ini terdapat dalam seni bina masjid-masjid di Aceh. Antaranya ialah masjid Bait al-Rahman dan masjid Bait al-Rahim.
Dalam aspek seni ukir pula, pengaruh kesenian Islam dapat dilihat pada mata wang dan alat-alat senjata seperti keris dan pedang. Di samping menggunakan tulisan jawi, ayat-ayat yang terukir di atas senjata terutamanya, merupakan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan perintah berjihad. Ayat-ayat al-Quran tersebut akan diukir pada hampir keseluruhan senjata. Selain itu, batu nisan yang dikenali batu Aceh di Aceh, akan diukir menggunakan motif-motif alam seperti bunga, pohon sarang labah-labah dan lain-lain lagi. Gambar mihrab juga sering digunakan.
Ketika kerajaan Pasai ditakluki oleh kerajaan Aceh iaitu pada tahun 1524, kebudayaan Melayu Pasai telah berpindah ke Bandar Aceh Darussalam. Di pusat kebudayaan yang baru ini, banyak karya-karya yang terhasil. Antaranya ialah Kitab Tajussalatin atau Mahkota Segala Raja yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603. Contoh lain seperti Kitab Sirat al-Mustaqim hasil tulisan Nuruddin ar-Raniri yang disiapkan di Aceh pada tahun 1644. Kitab ini membahaskan ilmu fiqh yang memfokuskan ibadat. Seorang ulama Aceh yang bernama Abdullah al-Asyi pula telah menulis Syifa’ al-Qalb yang mengandungi 400 buah hadith. Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti penterjemahan juga giat dijalankan. Contohnya, Nuruddin al-Raniri yang menterjemah kitabSyarh al-Aqa’id al-Nasafiyyah.
Setelah kertas kerja ini selesai disiapkan, dapatlah disimpulkan di sini bahawa Islam telah sampai ke kepulauan Tanah Aceh dengan beberapa andaian dan teori. Namun teori yang paling rajah dan paling boleh diterima pakai ialah teori yang mengatakan Islam datang dari Mekah pada abad ke 7 berpandukan amalan muslim di daerah tersebut yang menggunakan mazhab Syafi’ie. Di samping itu, pelbagai metodologi yang telah dilaksanakan untuk menyebarkan Islam ke pelusuk daerah tersebut. Antaranya ialah mengadakan kelas pengajian di masjid, menghantar ulama, mendirikan madrasah dan pelbagai lagi. Kesannya, Islam itu sendiri dapat dipraktikkan dalam amalan seharian warga daerah Aceh dari golongan istana atau elit hinggalah kepada rakyat. System politik, ekonomi dan sosial dijalankan berteraskan ajaran Islam. Pada masa yang sama, pelbagai institusi telah dibentuk bagi melancarkan lagi pentadbiran Islam di daerah tersebut. Semoga kertas kerja ini telahpun menjawab segala persoalan yang dibentangkan sebelum ini, insya Allah
Rujukan :
- Burhanuddin Daya. 1990. Gerakan Pembaharuan Pemikiran Islam : Kasus Sumatera Thawalib. PT. Tiara Wacana Yogya.
- Abu Bakar Atjeh. 1971. Sekitar Masuknya Islam ke Indonesia. C.V. Ramadhani Semarang.
- Hamka. 1975. Sejarah Umat Islam. Jakarta Bulan Bintang.
- Zakaria Ahmad. 1972. Sekitar Kerajaan Atjeh : dalam tahun 1520-1675. D.J.L Pandu2.
- Mohammad Said. 1981. Atjeh Sepanjang Abad. Waspada; Medan.
- Teuku Ibrahim Alfian. 2005. Wajah Aceh Dalam Lintasan Sejarah. Gadjah Mada University Press. Indonesia.
- Ahmad Jelani Hilmi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala lumpur: Utusan Publication &Distributors Sdn Bhd
- T.W. Arnold. 1896. The Preaching of Islam : A History of The Propagation of The Muslim Faith. Westminster : Archibald Constable & Co.
- Marwati Djoened Poesponegoro dan Nugroho Notosusanto . 2008. Sejarah Nasional Indonesia:Jaman Pertumbuhan Dan Perkembangan Kerajaan Islam DI Indonesia. Jakarta: Balai Pustaka
- Wan Hussein Azmi. 1993. Sejarah Masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia. al-Ma'rif, Bandung.
- Abd. Rahman Hj. Abdullah. 2000. Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara : Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
- H. M. Zainuddin. 1961. Atjeh dan Nusantara. Pustaka Iskandar Muda. Medan.