Friday, July 15, 2011

KELEBIHAN ANAK SOLEH

"Ya Allah Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihi aku waktu kecil.."

Terdapat kisah Nabi Musa di mana Nabi Musa satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.
"Kenapa ni?" tanya Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Setelah elesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. Bertanya Nabi Musa kepada pemuda itu "Wahai saudara, Apa agama kamu?". "Aku beragama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku." sambungnya. "Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

"Ya Allah, sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh ibu dan ayahku. Ya Allah, ampunilah dosa mereka, kasihani dan selamatkanlah mereka dan maafkanlah kesalahan mereka, muliakanlah kedatangan mereka, lapangkanlah kubur mereka, terimalah kebaikan mereka, hapuskanlah kesalahan mereka dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.."
Allahumma amin ya robb...

Friday, May 13, 2011

WHITE HOUSE KOPITIAM (TROPICANA)

.: ASSALAMUALAIKUM :.




White House Cafe

Kopitiam ini terletak di bangunan Merchant square Tropicana Selatan 1 Petaling Jaya berdekatan dengan pejabat PKR dan Balai polis Tropicana.











Cantik & Selesa


Jika sebelum ini café ini adalah milik seorg ahli politik iaitu Dato’ zahid Ibrahim, kini tidak lg!! semenjak awal Mei 2011 ianya telah bertukar tangan. Jadi, rentak gerakan café ini pasti ada perubahannya.




Pelbagai aneka pilihan makanan yg terdapat di sana, sebagai contoh : nasi lemak, kuih muih, makanan berlauk, masakan panas, dan yg paling special ialah sup tulangnya. Nasi kerabu dan Nasi dagang juga terdapat di sini.



Jika makanan ada yg specialnya di situ, air minumannya juga terdapat yg special seperti white coffee, 3 layer, jus orange+peria. Tp biasa org melayu panggil jus oren katak. Hm, apa tu??? Klu nk thu, mai dtg n rasa apa tu jus oren katak.







White Coffee

















3 Layer








Kopi

















Jus Oren


Harganya berpatutan mengikut standard sebuah café kopitiam. Jemputlah datang ke kedai kami dan jamu selera. Insya Allah kami akan bg perkhidmatan terbaik utk anda J

White House Café ,
A-G-12, blok A,
No.1 Jalan Tropicana Selatan 1,
PJU 3, 47410 Petaling Jaya, KL


"Ya Allah, apabila rezekiku ada di langit, maka turunkanlah, apabila di dalam bumi maka keluarkanlah, apabila di laut maka naikkanlah, apabila jauh maka dekatkanlah, sekiranya dekat maka permudahkanlah, dan sekiranya sedikit maka perbanyakkanlah dan sekiranya sedia banyak maka permudahkanlah untuk mendapatkannya , juga berilah keberkatan terhadap rezeki tersebut dan berikanlah rezeki padaku sebagaimana yang kujangka, dengan rezeki yang halal dan baik, serta banyak lagi keberkatan sehinggakan kutidak memerlukan sesiapa selain dari-Mu, dan jadikanlah kedua tanganku ini berada di atas dengan suka memberi dan menderma, dan jangan jadikan dua tanganku ini di bawah dengan suka meminta-minta, sesungguhnya Engkau amat berkuasa ke atas setiap sesuatu" Allahumma amin…

Wednesday, April 20, 2011

:: PERANAN KERAJAAN ISLAM DI ACHEH DALAM PENYEBARAN DAN PERKEMBANGAN INTELEKTUAL ::


Aceh ialah sebuah kota di Indonesia yang dipanggil sebagai serambi Mekah. Sebelum ini, kota ini bernama Kutaraya, dan semenjak 28 Desember 1962 nama Kutaraya ini telah diganti namanya menjadi Banda Aceh iaitu sebagai pusat pemerintahan. Selain itu, Banda Aceh juga menjadi pusat segala kegiatan ekonomi, politik, sosial dan budaya. Aceh terkenal dengan gelaran serambi Mekah adalah kerana Aceh merupakan daerah pertama yang menerima kedatangan Islam di Indonesia Ini juga menjadi antara faktor ramainya muslim di daerah tersebut. Aceh terletak di Pasai seperti yang dikatakan oleh ilmuan sejarah iaitu Dosen dari Fakulti Sastra Universiti Sumatera Utara, Suprayitno. Sekiranya kita membicarakan mengenai Perlak dan Pasai iaitu daerah yang awal dikunjungi oleh agama Islam di Indonesia, secara automatiknya akan dibicarakan juga mengenai sejarah Aceh.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Indonesia terkenal dengan negara yang sebahagian penduduknya beragama Islam. Namun masih ramai yang tidak ketahui sejarahnya. Sedangkan sejarah Aceh masih belum ditulis secara lengkap, bila permulaannya dan siapakah pembawanya? Dalam hal ini, perdagangan dan peranan para pedagang merupakan pendapat yang hampir disepakati oleh para sejarawan. Justeru pada kertas kerja kali ini penulis akan cuba menyingkap sejarah awal kedatangan Islam ke Aceh bersama teori-teori yang cuba diungkapkan. Selain itu, penulis juga akan cuba menerangkan cara-cara kemasukan Islam ke dalam kerajaan Aceh di samping kesan-kesan yang berlaku kepada segenap aspek dalam kerajaan Aceh. Semoga segala persoalan yang dikemukakan dapat dijawab dengan hasil tulisan ini.

KEMASUKAN ISLAM KE ACEH

Ahli sejarah Islam telah membuat banyak kajian bagi menentukan tarikh sebenar kedatangan Islam ke Indonesia. Berbagai teori telah dikemukakan, umpamanya pandangan yang menyatakan bahawa Islam telah masuk ke bahagian kepulauan Nusantara ini semenjak akhir abad pertama kelahiran Islam itu sendiri. Sehubungan itu, rata-rata sejarawan berpendapat bahawa dakwah Islam bermula di Sumatera seawal abad ketujuh atau kelapan masihi.

Teori kedatangan Islam ke Aceh

Menurut Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau dikenali sebagai Hamka telah mengemukakan tiga belas bukti dan disimpulkan bahawa utusan kaum muslimin dari Arab telah datang ke tanah Jawa pada tahun 675 M dan pada 684 M di Sumatera Barat. Di dalam buku “Sejarah Nasional Indonesia” terdapat keterangan bahawa Selat Melaka telah dilalui oleh pedagang-pedagang muslim semasa pelayaran mereka ke negeri-negeri Asia Tenggara dan Asia Timur sekitar abad ke 7 dan 8 M dan pada abad-abad tersebut diduga bahawa masyarakat Islam sudah berada di Sumatera. Menurut P.M Holt pula bahawa Islam telah masuk ke Aceh sekitar pertengahan abad ke 14, dan di sini penyebaran Islam terus sampai ke Minangkabau, iaitu dari Pidie melalui Pariaman dan menyelusup ke Minangkabau. 

Terdapat beberapa teori yang sehingga kini masih sering dibahas oleh sarjana-sarjana Barat mahupun kalangan intelektual Islam sendiri. Teori-teori ini yang akan menjelaskan kedatangan Islam ke Timur Jauh termasuk ke Nusantara:


Teori Gujarat.

Teori Gujarat ini adalah dibawa oleh Snouck Hurgronje yang mengatakan bahawa Islam telah memasuki ke pulauan Indonesia adalah datangnya dari wilayah benua India. Di dalam buku L’arabie et les Indes Neerlandaises, Snouck mengatakan bahawa teori tersebut dilihat pada pengamatannya dan tidak dilihat pada peranannya serta nilai-nilai Arab yang ada pada awal kedatangan Islam iaitu abad yang ke-12 atau 13. Snouck juga mengatakan, teorinya disokong oleh hubungan yang sudah terjalin lama antara wilayah Nusantara dengan India Darat.

Teori China

Menurut catatan China, pada abad ke 9, ramai penduduk di sebelah selatan negara China khususnya Yunan China telah memeluk Islam. Apabila setelah berlaku huru hara di daerah Yunan tersebut, lalu ramai Muslim berhijrah ke Asia Tenggara. Antara mereka ada yang menetap di Champa, Kemboja dan ada juga yang menetap di Negeri Pantai Timur Tanah Melayu. Oleh sebab itulah, sesetengah seni bina masjid lama di kelantan dan Demak Indonesia mempunyai seni bina China. Sesetengah ahli sejarawan tempatan berpendapat bahawa kedatangan islam ke Nusantara melalui China telah berlaku pada akhir abad ke 10 dengan awal abad ke 11.

Teori Arab.

Teori arab pula merangkumi dua iaitu Persia dan Mekah. Tanah Persia disebutkan sebagai kawasan awal kedatangan Islam di Nusantara. Ini adalah kerana terdapat kesamaan budaya yang dimiliki oleh beberapa kelompok masyarakat Islam Nusantara dengan penduduk Persia. Sebagai contoh mengenai peringatan 10 Muharam yang dijadikan sebagai hari peringatan wafatnya Hasan dan Husein, cucu Rasulullah s.a.w. Selain itu, beberapa tempat di Sumatera Barat pula terdapat tradisi Tabut, yang bererti keranda. Ini juga adalah untuk memperingati Hasan dan Husein. Ada pula pendapat lain dari teori ini mengatakan bahawa terdapat beberapa bahasa yang dipercayai datang dari Iran. Pendapat ini meyakinkan bahawa kedatangan Islam ke wilayah Nusantara pada abad ke-13 dan wilayah pertama yang dijejaki adalah Samudera Pasai.

Manakala, tanah Mekah pula disebutkan bahawa telah membawa Islam memasuki Indonesia. Kedatangannya bukanlah pada abad ke-12 atau 13, tetapi pada awal abad ke-7. Menurut teori ini, Islam telah mulai masuk ke Indonesia pada awal abad hijriah iaitu pada pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin dan Islam sudah mulai sampai ke Nusantara ketika Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib memegang amanah sebagai Amirul Mukminin.

Ini membuktikan bahawa teori-teori di atas telah mendatangkan kritikan yang cukup signifikan dari teori ketiga iaitu dari teori Arab Mekah. Menurut pandangan Ahli Sejarah Barat mengenai kemasukan Islam ke Indonesia pada abad ke 13 adalah tidak benar. Andai benar Islam telah masuk pada abad ke 13 yang datang dari Wilayah Gujarat itu, sudah pasti Indonesia akan tersebar dengan fahaman Syiah kerana Gujarat pada masa itu beraliran Syiah. Sedangkan sebagaimana yang kita ketahui bahawa kenyataan Islam di Indonesia didominasi oleh Mazhab Syafii’e. Menurut Hamka di dalam bukunya “Sejarah Umat Islam” telah berkata, sebuah naskah Tiongkok mengkabarkan bahawa telah ditemui kelompok bangsa Arab yang telah bermukim di pantai Barat Sumatera Barus dan kelompok tersebut bermazhab Syafii’e .

Snouck Hurgronje menceritakan di dalam bukunya “ The Islam In Nederland-Indie” dan “Groote Godsdiensten” mengenai masuknya Islam ke Indonesia sebagaimana berikut: Islam dengan secara tenangnya telah berkembang dan masuk ke pulauan Indonesia dan sekitarnya. Perkembangan ini tidak dicampuri oleh usaha pemerintah dari tempat-tempat lain. Negara-negara persisir Sumatera, seluruh Jawa di sekeliling pantai Borneo dan Selebes, begitu juga beberapa kepulauan kecil yang lain satu persatu telah dimasuki Islam. Terutama terdapat usaha saudagar-saudagar Islam atau orang-orang Islam yang ingin memperolehi tempat tinggal baru, yang datangnya mereka ini adalah dari daerah sebelah Barat. Usaha itu dibantu pula oleh anak negeri yang telah sedia memasuki Islam dari daerah persisir. Sebahagian mereka telah masuk menyebarkan dakwah agama Islam ke daerah pendalaman dan sebahagian lagi menyebarkan keyakinannya yang baru itu ke pulau-pulau yang terdekat, baik secara damai mahupun dengan menggunakan kekerasan.

Menurut buku “Sekitar Kerajaan Aceh dalam tahun 1520-1675” Pusat penyebaran agama Islam yang mula-mula di Indonesia ialah Samudera Pasai. Pasai merupakan kerajaan besar dan pusat perdagangan serta perkembangan agama Islam. Melaka menerima agama Islam dari Samudera Pasai dan terus berkembang dan menjadi pusat penyebaran agama Islam ke seluruh Indonesia dan Malaya menggantikan Samudera Pasai. Di masa kejatuhan Melaka di tangan Portugis, maka pusat penyebaran agama Islam berpindah ke Aceh dan Jawa.

Van langen mengakui bahawa selepas Hindu, telah datang gelombang peradaban yang kedua di Sumatera Utara iaitu kedatangan Islam dalam bahagian pertama dari abad ke 13. Kronik Melayu mengenai Pasai menceritakan bahawa dikala itu datanglah seorang lelaki dari Mekkah bernama Syeikh Ismail ialah yang mula-mula menyebarkan agama Islam di Pasai. Ia mengislamkan raja Pasai yang bersemayam di ibu negerinya bernama Samodra, dan dengan demikian sedikit demi sedikit dapat mengislamkan seluruh penduduknya. Cerita ini juga termuat dalam karangan Prof. Dr. Veth yang bernama “Achin”. Dari Pasai ini berkembanglah agama Islam ke daerah-daerah lain, sehingga dengan demikian habislah pengaruh agama Hindu di Aceh. Kebesaran Islam dan kemajuannya beralih ke Pidie pada tahun 1509 M. Demikianlah yang diceritakan oleh Marsden dalam “Sumatera”. Aceh Besar ketika itu tertakluk kepada Pidie, dan Islam di sana mulai berkembang pada permulaan abad ke 14. Di dalam sejarah terkenal bahawa Ali Moghayat Syah ialah Sultan Aceh yang berusaha giat untuk penyebaran agama Islam itu. Ia hidup antara 1507-1522, sesudah wafat diganti oleh anaknya Sultan Salahuddin pada tahun 1522-1530, yang tidak saja berkuasa di Aceh, tetapi mempersatukan Daya, Pidie dan Pasai, menjadi satu kerajaan yang kuat.

Demikian beberapa catatan dari pengarang Barat yang menerangkan bahawa Islam mula-mula datang ke Perlak, Pasai dan berkembang di Aceh, suatu kerajaan yang berdiri di atas kehancuran daerah Lamori Hindu. Tetapi belum diketahui dengan pasti, bila dan tahun berapa Islam itu datang di tempat-tempat itu. Sebagaimana dikatakan Prof. Skhrieke smapai tahun 1913 sejarah Samudra Pasai masih gelap.

Sumber teori kedatangan Islam

Kerajaan Pasai adalah diantara kerajaan yang terawal di Aceh dan Pasai juga adalah kerajaan pertama yang menerima Islam di Indonesia. Menurut Marco Polo di Pasai pada tahun 692 H / 1292 M, telah ramai orang arab yang menyebarkan Islam. Sebagaimana catatan dari Ibn Battutah ketika singgah di Aceh pada tahun 746 H / 1345 M menuliskan bahawa di Aceh telah tersebar mazhab Syafi'i. Adapun peninggalan tertua dari seorang kaum Muslimin yang ditemukan di Indonesia iaitu di Gresik, Jawa Timur. Ia berupa komplek makam Islam, yang salah satu diantaranya adalah makam seorang perempuan bernama Fatimah binti Maimun. Pada makamnya tertulis angka tahun 475 H / 1082 M, iaitu pada zaman Kerajaan Singasari. Dikatakan makam-makam ini bukanlah dari penduduk asli, tetapi ianya adalah makam para pedagang arab.

Selain itu, batu-batu nisan yang bertulis telah menguatkan kisah lama, begitu juga catatan yang ditinggalkan oleh Marco Polo yang telah datang dari Venesia pada abad ke 13. Selain itu, kisah perjalanan dari seorang peninjau Arab iaitu Ibn Battutah juga masih tersimpan sejak abad ke 14. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa adanya sebuah kerajaan Islam di Sumatera Utara bernama Pasai.

Tambahan lagi, Arnold berpendapat bahawa penyebaran Islam ke Nusantara dilakukan oleh para pedagang Arab ketika meraka mendominasi perdagangan Barat ke Timur sejak abad pertama Hijriah atau abad ke-7 dan ke-8 Masihi. Namun tiada pula terdapat catatan sejarah mengenai aktiviti pedagang Arab ini dalam penyebaran Islam di Nusantara. Arnold percaya bahawa para pedagang itu menyebarkan Islam kepada penduduk Nusantara disamping mereka berdagang di kawasan ini. Sebagai memperkuatkan lagi pandangannya, Arnold mengemukakan fakta-fakta tersebut dalam beberapa sumber Cina yang menyatakan bahawa menjelang akhir persinggahan ketiga abad ke-7, seorang pedagang Arab menjadi pemimpin sebuah mukim di Arab iaitu Muslim di pesisir pantai Sumatera. Arnold membuat kesimpulan bahawa masyarakat yang bermukim itulah yang penyebaran Islam kepada penduduk setempat. Terdapat banyak lagi pendapat lain yang menyatakan bahawa Islam di Aceh dibawa dari Arab iaitu Sir John Crowford. Pandangannya berdasarkan anutan mazhab Syafi'i oleh masyarakat muslim di Aceh. Namun, Crowford tidak menolak pandangan yang mengatakan bahawa interaksi penduduk Nusantara dengan kaum Muslimin yang berasal dari pantai Timur India merupakan faktor penting dalam penyebaran Islam di Nusantara.

Tokoh-tokoh yang terlibat dalam penyebaran Islam

Peranan para alim ulama adalah besar dalam kerajaan Aceh sejak berdirinya kerajaan tersebut. Perlaksanaan dan pemerintahannya adalah dijadikan pedoman dan adat, tidak boleh bertentangan dengan hukum. Oleh itu, lahirlah pepatah yang berbunyi “Hukom ngon adat hanjeut tjre, lagee zat ngon sipheut” yang bermaksud “hukum atau syariat agama dan adat tidak boleh bercerai seperti zat dan sifatnya”.

Pada pemerintahan Salahuddin Riayat Shah al-Kahhar, sebahagian dari pendakwah Islam telah dihantar ke Aru untuk menyebarkan Islam ke tanah Batak. Pendakwah-pendakwah Islam itu ada yang berasal dari Aceh, Arab, India, Turki dan Abesina. Para pendakwah islam di Pantai Barat Pulau Sumatera juga sangat giat menyebarkan agama Islam. Syeikh Burhanuddin murid kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel iaitu seorang ulama terkenal pada masa pemerintahan Tajul Alam iaitu seorang pendakwah terkenal yang menjadikan Ulakan sebagai pusat penyebaran agama ke pedalaman Sumatera Barat. Syeikh Shamsuddin as-Sumaterani juga adalah seorang pendakwah Islam terkenal yang telah dihantar ke Melaka dan beliau meninggal dunia di sana pada tahun 1630. Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah seorang ulama Tasauf yang terkenal. Beliau telah merantau ke beberapa tempat untuk mengajar dan menyebarkan agama islam. Sebagai contoh Pahang, Kudus, Banten dan beberapa tempat lain lagi.

Pada pemerintahan Sultan Husin yang digelar sebagai Sultan Ali Riayat Shah pada tahun 1568-1575, telah datang seorang ulama dari Mekah iaitu Muhammad Azhari yang bergelar Syeikh Nuruddin ke Aceh. Ia berasal dari Mesir dan bermazhab Syafii’e. Beliau mengajar di ibu kota Kerajaan Aceh dan meninggal di sana juga. Beliau juga banyak membawa pengaruh dalam kehidupan keagamaan di Aceh pada masa itu. Pada tahun 1582 pada masa pemerintahan Mansur Shah 1577-1586, dua orang ulama yang berasal dari Mekah, iaitu Syeikh Abdul Khair bin Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh Muhammad Jamani. Ketika pemerintahan Mansur Shah juga telah datang pula seorang ulama dari Gujarat iaitu Syeikh Muhammad Jailani Ibn Hasan Ibn Muhammad Hamid ar-Raniri. Syeikh Ibn Hajar mengajar ilmu hukum Islam dan dialah yang mengarang sebuah kitab yang berjudul as-Saiful Qathi.

Catatan sejarah menurut buku “Aceh Sepanjang Abad” ada yang menyebutkan secara pasti bahawa tahun kemasukan Islam ke Aceh memang tidak ditemukan, tetapi petunjuk yang ada dapat ditelusuri dalam Hikayat Raja-raja Pasai ada ditulis setelah tahun 1350, menyatakan bahawa ada nakhoda Arab bernama Syeikh Ismail telah berlayar dari Mekah menuju Sumatera, hal ini sengaja dilakukan dengan maksud untuk menyebarkan Islam. Menurut catatan Mohammad Said, misi ini berhasil mengislamkan Meurah Silu, yang kemudian bergelar Sultan Malik as-Salih, Raja Pasai pertama. Sebelum tiba di Pasai, rombongan terlebih dahulu singgah di Barus, Lamuri,dan Perlak untuk mengislamkan penduduk di sana.




Koin




mata wang sultan moemin samudra pasai
(ZAMAN SULTAN MOEMIN (SAMUDRA PASAI)




mata wang Samudera Pasai



inside Dinar Aceh


PENYEBARAN DAKWAH ISLAM DI ACEH

Metode penyebaran dakwah

Perdagangan

Pada tahap permulaan, proses kemasukan Islam adalah melalui perdagangan. Kesibukan lalu-lintas perdagangan pada abad ke-7 hingga ke-16 menjadikan para pedagang Muslim dari Arab, Persia dan India turut mengambil bahagian dalam perdagangan dari negeri-negeri di sebelah Barat, Tenggara dan Timur Benua Asia. Perkembangan kerajaan Islam Samudra Pasai boleh dilihat melalui perkembangan oleh aktiviti pelayaran dan perdagangan internasional melalui Selat Melaka yang telah wujud sejak abad pertama Masihi lagi. Kemungkinan pada masa pemerintahan Sultan Malik as-Salih sudah ada hubungan dengan Cina sebagaiman dalam catatan sejarah dinasti Yuan bahawa pada tahun 1282 Masihi, seorang utusan Cina bertemu dengan salah seorang menteri dari kerajaan Sumatera di Quilon yang meminta agar raja Sumatera (Samudra) mengirimkan dutanya ke Cina. Menurut dalam sebuah buku yang bertajuk Suma Oriental of Tome Pires menyatakan bahawa pada awal abad ke-16 Masihi mungkin adalah tempoh kegemilangan kerajaan Samudra Pasai dengan pelbagai kemajuan dari segi politik, keagamaan dan terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan. Dicatatkan juga bahawa kerajaan Samudra Pasai telah menggunakan mata wang seperti wang kecil yang disebut ceitis, ada yang diperbuat daripada emas yang disebut dramas yang dibandingkan dengan mata wang Portugis crusade, iaitu 9 drama bersamaan dengan 1 crusado juga bersamaan dengan 500 cash. Bahkan kerajaan Samudra Pasai menghasilkan komoditi perdagangan eksport seperti lada, sutera, kapur barus dan sebagainya. Oleh yang demikian, para pedagang Muslim yang datang menyinggah memanfaatkan peluang mereka bukan sahaja sebagai pedagang bahkan juga sebagai pendakwah untuk turut menyebarkan Islam kepada golongan bangsawan dan pemerintah bahkan juga kepada penduduk tempatan.

Perkahwinan

Kerajaan Samudra Pasai mempunyai peranan penting dalam penyebaran agama Islam di Asia Tenggara.Sultan Malik al-Salih telah berkahwin dengan puteri raja dari Perlak untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan menggunakan undang-undang Islam dalam pentadbiran kerajaan. Menurut Ibnu Batutah, pada masa pemerintahan Sultan al-Malik al-Zahir, baginda gemar bergaul dengan para ulama untuk menyelesaika hal-hal yang berkaitan dengan agama. Selain daripada itu, Melaka juga menjadi kerajaan yang bercorak Islam kerana mempunyai hubungan yang erat dengan kerajaan Samudra Pasai iaitu melalui perkahwinan antara putera-putera sultan dari Pasai dan Melaka sehingga pada awal abad ke-15 atau pada sekitar tahun 1414, berkembanglah kerajaan Islam Melaka yang diperintah oleh Parameswara ketika itu. 

Pemerintahan

Islam juga tersebar dengan lebih meluas apabila pemerintah kerajaan Samudra Pasai telah memeluk agama Islam. Melihatkan pemerintahnya menganut agama yang baru justeru penduduknya juga turut memeluk agama yang dipeluk oleh pemerintah mereka. Pemerintah dan penduduk kerajaan Samudra Pasai telah pun memeluk agama Islam namun berfahaman Syiah. Oleh sebab pada abad ke-13 Masihi ketika itu, seluruh Mesir dan Haramin telah dikuasai oleh kerajaan Mamluk yang bermazhab Sunni, maka misi kedatangan Syeikh Ismail ke Sumatera adalah untuk menukar mazhab Syiah kepada Sunni.

Pusat penyebaran dakwah

Penyebaran Islam juga dilakukan melalui pembinaan beberapa buah pondok atau lebih dikenali denganpesantren sebagai pusat pendidikan dan keagamaan diselenggarakan oleh para ulama. Atas usaha para ulama, telah didirikan beberapa buah zawiyah atau dayah sebagai tempat mengajar dan mendalami agama Islam. Dengan adanya dayah-dayah ini, Islam (Syiah) telah dapat disebarkan dengan meluas di seluruh pelosok wilayah kekuasaan Perlak. Dayah ini telah menjadi pusat kegiatan dakwah Islamiyah.Justeru itu, Islam mula bertapak kukuh di sekitar pesisir utara pulau Sumatera.

Kesimpulannya, dengan kedatangan Islam, petempatan-petempatan orang Islam mula terbentuk di kawasan tersebut sehingga berkembang menjadi antara salah sebuah kerajaan Islam yang kuat di Asia Tenggara. Penyebaran Islam tidak terhad untuk golongan pemerintah mahupun golongan bangsawan.Namun demikian, penduduk tempatan turut sama memeluk agama Islam. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan taat setia kepada pemerintah mereka di samping mewujudkan hubungan yang baik dengan pendakwah Islam dan juga kepada para pedagang.

KESAN PERKEMBANGAN INTELEKTUAL DI ACEH

Sepanjang penyebaran dakwah Islam di kerajaan Aceh, pelbagai perubahan telah berlaku. Perubahan tersebut adalah dari aspek politik, sosial dan budaya mereka sendiri. Ini bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri yang syumul iaitu mencakupi keseluruhan aspek kehidupan ini. Justeru itu, kita akan meneroka beberapa kesan hasil dari penyebaran Islam yang telah berlaku.

Sistem pemerintahan dan kehakiman

Penggunaan gelaran Sultan adalah perubahan paling jelas sejak kedatangan Islam. Ini kerana, gelaran Raja yang digunakan sebelum ini lebih berunsurkan agama Hindu. Negeri yang rajanya menggunakan gelaran Sultan memberi gambaran raja tersebut beragama Islam. Sebagai contoh, Sultan Alaiddin Johan Syah yang mendirikan kota Darussalam adalah raja pertama yang menggunakan gelaran tersebut dalam kerjaan Aceh. Raja dipilih atas persetujuan ulama’ dan pembesar-pembesar yang juga merupakan ahli adat. Syarat-syarat seseorang untuk menjadi Sultan adalah merdeka, dewasa, berpengetahuan dalam hukum dan adil di samping beberapa syarat lain. Jika ditinjau dengan teliti, syarat-syarat tersebut sebenarnya adalah syarat-syarat daripada hukum Islam yang berasal dari pemerintahan Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri. 

Selain itu, golongan Ulama’ turut diangkat sebagai penasihat Sultan. Golongan ulama’ ini akan menasihati Sultan dalam hal-hal yang berkaitan agama. Mereka juga ditugaskan untuk memberi penerangan rakyat tentang keagamaan. Di samping itu, mereka juga memainkan peranan sebagai kadhi Sultan dalam memutuskan hukum-hukum dalam negeri. Khidmat mereka juga diperlukan untuk menikahkan orang yang tidak berwali dan lain-lain hal yang berkaitan dengan keagamaan.

Di samping itu, undang-undang Islam atau yang bercorak Islam telah diwujudkan. Di Aceh, terdapat dua dokumen penting iaitu, Kanun Meukuta Alam yang juga dikenali sebagai Kanun Syarak Aceh atauKanun Aceh sahaja. Sebuah lagi dokumen adalah Adat Meukuta Alam atau disebut sebagai Adat Acehsahaja. Kanun Aceh dianggap sebagai sebuah perlembagaan Islam. Ini kerana di dalamnya tercatat Dasar Asasi Negara yang meliputi hukum syarak Islam, adat resam syarak Islam dan kanun syarak Islam. Ia juga menyentuh tentang tanggungjawab seorang penguasa serta tentang pentadbiran Negara.

Sistem sosial dan ekonomi

Banyak nilai-nilai murni yang telah berjaya diterapkan oleh Islam kepada penduduk kerajaan Aceh. Dari golongan atasan hinggalah kepada rakyat, nilai-nilai murni ini subur dalam diri masing-masing. Nilai bekerjasama atau dikenali sebagai ta’awun dalam bahasa Arab adalah nilai yang sangat jelas diamalkan. Sebagai contoh, semasa Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhamad (s.a.w.), mereka akan mengadakan kenduri secara besar-besaran. Kenduri ini akan diadakan di Istana, rumah-rumah Pembesar dan di masjid-masjid. Pada majlis tersebut akan diadakan majlis berzanji beramai-ramai dan berzikir. Seterusnya, tetamu akan dijamu dengan hidangan seperti daging, telur asin dan sebagainya.

Selain itu, perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat juga meluas. Ini berbeza ketika Aceh di bawah pengaruh Hindu-Buddha di mana pendidikan lebih tertumpu kepada golongan istana atau elit sahaja. Pendidikan Islam ini meliputi institusi pendidikan formal dan juga tidak formal. Dalam pendidikan tidak formal, peranan yang dipegang oleh istana masih diteruskan. Di Aceh, mereka dikenali sebagai Syaikh al-Islam dan Kadi Malik al-Adil. Pada masa yang sama, masjid dan surau juga menjadi pusat pengajian Islam yang penting. Masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadat dan pusat ilmu malahan masjid berperanan sebagai pusat pengajian tinggi atau universiti. Jamiah Bait al-Rahman contohnya, mempunyai beberapa fakulti yang dikenali sebagai “dar”. Sebagai contoh, Darul Ahkam (Fakulti Hukum-hakam atau Undang-undang), Darul Tib (Fakulti Perubatan), Darul Siyasah ( Fakulti Politik) dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama iaitu di zaman Ratu Safiatuddin, telah berlakunya kebangkitan peranan golongan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan. Antara perkara utama yang dituntut adalah keterbukaan peluang pendidikan kepada golongan wanita. Di samping itu wanita juga turut memainkan peranan dalam institusi kehakiman. Hal ini terjadi apabila majlis Mahkamah Rakyat yang dibentuk oleh Sultan Iskandar Muda telah membenarkan penyertaan dari kaum wanita. Isteri baginda sendiri yang memimpin majlis tersebut telah menambahkan anggota wanita sehingga menjadi 22 orang berbanding kaum lelaki yang hanya berjumlah 8 orang. Dalam persidangan majlis ini, beberapa undang-undang telah berjaya ditetapkan. Antaranya, dalam aspek kekeluargaan, sebuah rumah perlu disediakan kepada anak perempuan manakala suami harus menyerahkan hartanya kepada isterinya sebanyak 50%.

Selain itu, kerajaaan Aceh juga telah berjaya menyusun ekonomi mereka dengan membentuk dua sistem pengurusan yang bertaraf kementerian. Yang pertama adalah Balai Baitulmal dan yang kedua ialah Balai Furdah. Balai Baitulmal atau Kementerian Kewangan ditugaskan untuk menjaga urusan perbendaharaan Negara yang bersumber daripada zakat, jizyah, kharaj dan keuntungan daripada perusahaan kerajaan. Sedangkan, Balai Furdah atau Kementerian Perdagangan berperanan menjaga urusan perdagangan dalam dan luar negeri Aceh.

Kesenian dan kebudayaan

Pengaruh Islam dalam bidang keseniaan di Asia Tenggara amnya dan di Kerajaan Aceh khusunya sangatlah banyak. Ianya meliputi pelbagai aspek seperti seni bina, seni ukir, epigrafi, kaligrafi, seni logam dan sebagainya. Perubahan yang berlaku ini menonjolkan lagi perbezaan antara warisan seni sebelumnya dengan kesenian Islam.

Pertama sekali kita akan menyentuh kesan atau pengaruh Islam dalam seni bina di Kerajaan Aceh. Antara seni bina yang mendapat sentuhan Islam adalah masjid, surau atau madrasah, istana, rumah dan sebagainya. Dalam seni bina masjid, pada peringkat awal Islam, masjid dibina dengan ringkas dan mudah tanpa sebarang unsur keseniaan Islam. Kemudiaannya, masjid-masjid mula dibina dalam bentuk yang kukuh, besar dan indah. Sesebuah masjid mempunyai beberapa ciri asasi. Antaranya ialah di pucaknya tedapat kubah, mempunyai mihrab yang menunjukkan arah kiblat dan mempunyai mimbar tempat khatib berkhutbah. Kesemua ciri-ciri ini terdapat dalam seni bina masjid-masjid di Aceh. Antaranya ialah masjid Bait al-Rahman dan masjid Bait al-Rahim.

Dalam aspek seni ukir pula, pengaruh kesenian Islam dapat dilihat pada mata wang dan alat-alat senjata seperti keris dan pedang. Di samping menggunakan tulisan jawi, ayat-ayat yang terukir di atas senjata terutamanya, merupakan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan perintah berjihad. Ayat-ayat al-Quran tersebut akan diukir pada hampir keseluruhan senjata. Selain itu, batu nisan yang dikenali batu Aceh di Aceh, akan diukir menggunakan motif-motif alam seperti bunga, pohon sarang labah-labah dan lain-lain lagi. Gambar mihrab juga sering digunakan.

Ketika kerajaan Pasai ditakluki oleh kerajaan Aceh iaitu pada tahun 1524, kebudayaan Melayu Pasai telah berpindah ke Bandar Aceh Darussalam. Di pusat kebudayaan yang baru ini, banyak karya-karya yang terhasil. Antaranya ialah Kitab Tajussalatin atau Mahkota Segala Raja yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603. Contoh lain seperti Kitab Sirat al-Mustaqim ­hasil tulisan Nuruddin ar-Raniri yang disiapkan di Aceh pada tahun 1644. Kitab ini membahaskan ilmu fiqh yang memfokuskan ibadat. Seorang ulama Aceh yang bernama Abdullah al-Asyi pula telah menulis Syifa’ al-Qalb yang mengandungi 400 buah hadith. Pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti penterjemahan juga giat dijalankan. Contohnya, Nuruddin al-Raniri yang menterjemah kitabSyarh al-Aqa’id al-Nasafiyyah.

Setelah kertas kerja ini selesai disiapkan, dapatlah disimpulkan di sini bahawa Islam telah sampai ke kepulauan Tanah Aceh dengan beberapa andaian dan teori. Namun teori yang paling rajah dan paling boleh diterima pakai ialah teori yang mengatakan Islam datang dari Mekah pada abad ke 7 berpandukan amalan muslim di daerah tersebut yang menggunakan mazhab Syafi’ie. Di samping itu, pelbagai metodologi yang telah dilaksanakan untuk menyebarkan Islam ke pelusuk daerah tersebut. Antaranya ialah mengadakan kelas pengajian di masjid, menghantar ulama, mendirikan madrasah dan pelbagai lagi. Kesannya, Islam itu sendiri dapat dipraktikkan dalam amalan seharian warga daerah Aceh dari golongan istana atau elit hinggalah kepada rakyat. System politik, ekonomi dan sosial dijalankan berteraskan ajaran Islam. Pada masa yang sama, pelbagai institusi telah dibentuk bagi melancarkan lagi pentadbiran Islam di daerah tersebut. Semoga kertas kerja ini telahpun menjawab segala persoalan yang dibentangkan sebelum ini, insya Allah

Rujukan :
- Burhanuddin Daya. 1990. Gerakan Pembaharuan Pemikiran Islam : Kasus Sumatera Thawalib. PT. Tiara Wacana Yogya.
- Abu Bakar Atjeh. 1971. Sekitar Masuknya Islam ke Indonesia. C.V. Ramadhani Semarang.
- Hamka. 1975. Sejarah Umat Islam. Jakarta Bulan Bintang.
- Zakaria Ahmad. 1972. Sekitar Kerajaan Atjeh : dalam tahun 1520-1675. D.J.L Pandu2.
- Azyumardi Azra. 2007. Jaringan Ulama. Prenada Media Group.
- Mohammad Said. 1981. Atjeh Sepanjang Abad. Waspada; Medan.
- Teuku Ibrahim Alfian. 2005. Wajah Aceh Dalam Lintasan Sejarah. Gadjah Mada University Press. Indonesia.
- Ahmad Jelani Hilmi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala lumpur: Utusan Publication &Distributors Sdn Bhd
- T.W. Arnold. 1896. The Preaching of Islam : A History of The Propagation of The Muslim Faith. Westminster : Archibald Constable & Co.
- Marwati Djoened Poesponegoro dan Nugroho Notosusanto . 2008. Sejarah Nasional Indonesia:Jaman Pertumbuhan Dan Perkembangan Kerajaan Islam DI Indonesia. Jakarta: Balai Pustaka
- Wan Hussein Azmi. 1993. Sejarah Masuk dan Berkembangnya Islam di Indonesia. al-Ma'rif, Bandung.
- Abd. Rahman Hj. Abdullah. 2000. Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara : Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
- H. M. Zainuddin. 1961. Atjeh dan Nusantara. Pustaka Iskandar Muda. Medan.



ZUNNULMISR

My photo
"sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahannya.." (al insyirah_6)