Wednesday, April 6, 2011

“KIASAN BUDI”

:: assalamualaikum ::


Sebening pagi berjalur fajar
Menghiasi warna
diri indah memancar
Sebersih putih sutera kasih
Dilahir insan sesuci fitrah
Tanpa dosa noda
Takkan pudar ….. takkan musnah
Takkan sirna ….. Takkan punah
Warisan budaya bangsa
Bersopan tutur bicara ….. Menambat jiwa
Bersantun pekerti diri ….. hias peribadi
Fitnah ….. dihindarkan
Taqwa ….. ditingkatkan
Hasad ….. dijauhkan
Ikhlas ….. diamalkan
Menuju redha tuhan
Berbudi budaya kita
Lambang jati diri bangsa
Akrabkan ukhwah saudara
Sejahtera tanpa sengketa
Jauhi kesumat jiwa
Mogakan mulia ummah kita
Hindari dusta dan nista
Agar akhlakkan terpelihara

.: ko-k nasyid ukm 2011 tahun 1 sem 2 :.

واذكر فان الذكرى تنفع المؤمنين
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang yang beriman”
(surah az-Zariyyat, ayat : 55)
Rangkap pertama :
Sebening pagi berjalur fajar, Menghiasi warna diri indah memancar, Sebersih putih sutera kasih, Dilahir insan sesuci fitrah, Tanpa dosa noda.
Rangkap pertama ini menceritakan mengenai apabila lahirnya manusia ke dunia ini adalah bermula dengan bersih hatinya, suci dan murni umpama sebuah hamparan putih yang tidak mempunyai apa-apa tompok hitam. Selain itu, insan yang baru melihat dunia tersebut tidak mempunyai apa-apa dosa walaupun sekumit kuman yang menyelubungi dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, mafhumnya :
"Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Fitrah berdasarkan hadis diatas bermaksud kesucian dan kemuliaan, ia menerangkan kepada kita bahawa setiap anak yang dilahirkan, hakikatnya tiada mempunyai dosa noda atau perkara-perkara yang bersifat syirik kepada Allah kerana fitrahnya setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini menginginkan dan menjanjikan ketaatan kepada Allah dan menjauhi larangaNya.
Rangkap kedua :
Takkan pudar ….. takkan musnah, Takkan sirna ….. Takkan punah, Warisan budaya bangsa.
Rangkap kedua pula menerangkan bahawa warisan budaya dalam setiap bangsa itu tidak akan luput dan pupus dari ingatan, budaya dan adat diri setiap insan selagi ianya tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan di zaman nabi dahulu juga mempunyai warisan budaya bangsanya. Inikan pula zaman melayu sekarang yang meliputi warisan budaya yang kuat.
Rangkap ketiga :
Bersopan tutur bicara ….. Menambat jiwa, Bersantun pekerti diri ….. hias peribadi, Fitnah ….. dihindarkan, Taqwa ….. ditingkatkan, Hasad ….. dijauhkan, Ikhlas ….. diamalkan, Menuju redha tuhan.
Rangkap ketiga ini memberitahu kepada kita bahawa sekiranya seseorang itu mahu berbicara, maka berbicaralah dengan bersopan santun kerana hati-hati orang yang mendengar perbicaraan tersebut akan tertambat pada setiap kalimah yang dikeluarkan. Begitu jugalah dengan diri kita, haruslah bersopan santun kerana ia akan menghias peribadi diri sendiri. Selain itu, rangkap ini juga menasihati kita bahawa fitnah haruslah dihindarkan kerana dunia ini adalah darul fitnah. Ini bermakna fitnah boleh berlaku di mana- mana sahaja. Taqwa pula haruslah ditingkat agar diri kita semakin hampir pada Allah. Terdapat sebuah kata-kata hikmah yang berbunyi, ‘titik akhir ilmu pengetahuan ialah taqwa kepada Allah’. Hasad juga haruslah dijauhi dari diri seorang muslim, namun begitu ikhlas pula haruslah diamal. Jelaslah kepada kita bahawa setiap yang negatif itu ada yang positifnya. Jadi, ambillah yang positif kerana ia boleh membawa kita menuju redha ilahi yang hakiki.
Rangkap keempat :
Berbudi budaya kita, Lambang jati diri bangsa, Akrabkan ukhwah saudara, Sejahtera tanpa sengketa.
Rangkap seterusnya menerangkan kepada kita bahawa budaya kita ialah dengan berbudi tidak kira pada bahasanya atau sikapnya sendiri kerana sekiranya kita berbudi bahasa, budaya mahupun sikap kita akan melambangkan jati diri sesebuah bangsa itu. Tidak kira melayu, cina ataupun india. Selain itu, kita juga digalakkan merapatkan silaturrahim. Janganlah sesekali kita mencari musuh bahkan kita haruslah bermasyarakat. Daripada Anas bin Malik r.a berkata: sesungguhnya Rasullullah s.a.w bersabda mafhumnya :
“Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rangkap kelima :
Jauhi kesumat jiwa, Mogakan mulia ummah kita, Hindari dusta dan nista, Agar akhlakkan terpelihara.
Rangkap yang terakhir ini menasihati kita agar setiap insane haruslah menjauhi kesumat yang melanda diri dan jiwa seseorang kerana sekiranya ia terjaga, maka mampulah ummah Islam bersatu dan harmoni. Selain itu, kita juga dinasihatkan agar menghindari segala dusta dan nista yang mudah sangat berlaku lagi-lagi di zaman kini. Oleh itu, barulah akhlak kita akan terpelihara dan terbela. Hadith sohih yang diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasullullah s.a.w bersabda mafhumnya :
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk mnyempurnakan akhlak manusia."

No comments:

Post a Comment

ZUNNULMISR

My photo
"sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahannya.." (al insyirah_6)