Tuesday, March 1, 2011

PENGARUH ISLAM DALAM PEMERINTAHAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM PENJAJAHAN ASING


ISLAM DI MELAKA
(Sejarah Awal Kedatangan Islam di Melaka)

Menurut pandangan yang paling masyhur, Islam telah bertapak di bumi Melaka sekitar tahun 1400 Masihi di mana Melaka pada masa itu sudah menjadi sebuah negara utama di Semenanjung Tanah Melayu dan juga merupakan sebuah pelabuhan perdagangan terpenting di Alam Melayu. Hal ini demikian, kerana ramai pedagang Islam khususnya yang datang dari Tanah Arab dan Gujerat, juga pedagang dari China dan Kepulauan Melayu telah berkumpul di pelabuhan tersebut.

Pernyataan ini disokong oleh satu catatan sejarah Cina di mana di dalam catatan tersebut, dinyatakan bahawa General Cheng Ho iaitu seorang general Dinasti Ming dari China telah datang ke Melaka pada 1403 Masihi. Di dalam catatan tersebut, beliau menyatakan bahawa rakyat negeri Melaka ketika itu sudah ramai beragama Islam. Justeru, dapat disimpulkan bahawa Islam telah bertapak di bumi Melaka sejak dari tarikh tersebut.

Kembali kepada sejarah awal pembukaan Melaka, Melaka telah dibuka oleh Parameswara yang merupakan anak raja Sri Wijaya. Ekoran dari peristiwa peperangan merebut takhta yang meletus di Majapahit, beliau telah melarikan diri dan berselindung di Temasik yang mana ketika itu berada di bawah kuasa Siam. Kedatangan beliau disambut baik oleh Temagi, wakil kerajaan Siam di Temasik. Namun, atas alasan-alasan tertentu, Parameswara telah membunuh Temagi lalu melarikan diri menyusuri pantai Johor dan akhirnya tiba di Melaka. Melaka pada ketika itu hanya merupakan sebuah kampung nelayan sahaja.

Dengan kebijaksaan dan kefahaman beliau tentang ilmu pemerintahan beraja, beliau telah mengambil kuasa di situ dan menjadikan Melaka sebagai pelabuhan yang baik. Hasil dari kegigihan dan kepakaran beliau dalam pemerintahan, Melaka telah menjadi pelabuhan yang termaju dan termasyhur. Sungguhpun demikian, kejayaan yang dikecapi ini tidak menjamin keselesaan dan ketenangan beliau kerana bimbang akan ancaman Siam yang akan menuntut bela atas pembunuhan yang dilakukan oleh Parameswara terhadap Temagi sebelum ini.

Kebimbangan ini akhirnya terhapus, apabila Parameswara menjalin hubungan baik dengan China rentetan peristiwa kedatangan Cheng Ho sebagai utusan Maharaja Ming dari China. Parameswara telah menggunakan kesempatan ini memujuk kerajaan China supaya mengakuinya sebagai raja yang sah serta memberikan perlindungan kepada Melaka. Keadaan ini bukanlah bermakna Melaka menjadi negara jajahan takluk bagi China, tetapi ia adalah sekadar menjalin hubungan baik. Ini kerana pada tahun 1406 Masihi, Parameswara sendiri telah datang ke China untuk melawat istana Maharaja tersebut. Hasilnya, beliau telah diakui oleh Maharaja China dan telah dihadiahkan cop mohor kerajaan, satu persalinan sutera dan sekaki payung kuning sebagai penghargaan dari Maharaja China.

Kekuasaan mutlak ini telah mendorong kepada kemajuan Melaka sebagai pelabuhan utama. Aktiviti utama di pelabuhan adalah berunsur perniagaan. Ramai pedagang-pedagang asing yang singgah untuk tujuan perniagaan. Namun, terdapat juga pedagang yang singgah kerana menunggu pertukaran angin monsun untuk meneruskan perjalanan. Kebanyakan mereka yang singgah adalah dari kalangan orang Islam yang datang dari Tanah Arab, Gujerat dan China.

Sudah menjadi tanggungjawab umat islam itu, untuk menyebarkan risalah islam keseluruh umat manusia. Maka, tidak hairanlah jika dikatakan Islam itu datang melalui perdagangan di mana perniagaan mereka disusuli dengan penyebaran Islam. Tambahan pula, pendedahan Islam oleh golongan peniaga ini, disambut baik oleh golongan pemerintah. Dikatakan, Parameswara telah memeluk agama Islam lalu menukar namanya kepada Sultan Megat Iskandar Syah dan kemudian berkahwin dengan Puteri Pasai yang pada ketika itu sudah beragama Islam. Natijah hubungan perkahwinan di antara dua kerajaan Islam ini meluaskan lagi aktiviti penyebaran Islam dan Melaka bertambah maju sehingga menjadi sebuah pusat pengajian Islam. Beliaulah yang telah meletakkan batu asas kemajuan Melaka.

Melaka dianggap sebagai empayar Islam Melayu yang terbesar sekali di timur pada abad kelima belas berikutan kedaulatan pemerintahan Islam Melaka yang meluas ke beberapa bahagian Tanah Melayu dan Sumatera. Sultan Megat Iskandar Syah juga telah mengutuskan pendakwah-pendakwah Islam ke Jawa dan bahagian-bahagian lain Gugugusan Kepulauan Melayu di sepanjang jalan perdagangan untuk menyebarkan Islam. Beliau akhirnya mangkat pada tahun 1424 Masihi dan diganti oleh anaknya Sultan Muhammad (1424-1444M).

Kemuncak dan kegemilangan kesultanan Islam di Melaka adalah semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477M). Pada masa ini, Islam telah berkembang di Johor, Pahang, Jambi, Siak, Rokan, Indragiri, Kampar, Bengkalis, Bentan dan kepulauan Riau. Meskipun empayar Islam Melaka semakin meluas, Melaka turut mendapat saingan hebat dari negara luar iaitu Siam di utara dan Majapahit di selatan. Namun begitu, Majapahit akhirnya dapat ditumpaskan pada kurun kelima belas manakala Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi usaha mereka hanya menemui kegagalan.

Pada kurun ini, Melaka telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru yang menggantikan Srivijaya. Kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat kejayaan demi kejayaan telah dicapai sehingga Melaka muncul sebagai kuasa besar di kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya dan China.

Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah, takhta dinaiki oleh Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488M). Dalam pemerintahan beliau, undang-undang Islam telah diperkuatkan lagi dengan wujudnya undang-undang jenayah dan kawalan ketat bagi menjamin keamanan dalam pemerintahannya. Kemudian, baginda diganti oleh Sultan Mahmud Syah (1488-1511) yang merupakan Sultan Melaka terakhir kerana pemerintahannya ditamatkan dengan bermulanya tawanan Portugis ke atas Melaka pada 1511 Masihi. Maka, bermulalah era kejatuhan Melaka yang mana ianya tidak akan dibincangkan dalam kertas kerja ini.

Faktor-faktor Penyebaran dan Penerimaan Islam

Meneliti peristiwa sejarah yang dijelaskan sebelum ini, kemunculan Islam di Melaka disambut baik oleh semua lapisan masyarakat setempat. Islam telah datang ke Nusantara secara aman tanpa berlaku pertumpahan darah. Hal ini menimbulkan beberapa persoalan tentang mengapa dan bagaimana Islam boleh diterima dengan begitu mudah dan penyebarannya juga begitu lancar.

Setelah diteliti dan difahami, dapatlah disimpulkan bahawa antara faktor yang penerimaan Islam itu ialah faktor kesederhanaan, kesucian dan keluhuran agama itu sendiri. Ajaran Islam bertunjang kepada konsep tauhid yakni beriman dengan Tuhan yang satu. Islam juga tidak membezakan taraf atau darjat sesama umat Islam. Hal ini bertentangan dengan ajaran Hindu yang dianuti oleh masyarakat Melayu sebelum itu di mana mereka bertuhankan berhala dan dewa di samping mengamalkan sistem kasta yang menyekat kebebasan mereka. Oleh yang demikian, persamaan taraf yang dibawa oleh Islam telah menjadi faktor utama dalam penukaran agama. Ekoran dari itu, keluhuran dan kesucian Islam telah digambarkan dengan wujudnya keamanan, ilmu pengetahuan, kepandaian menulis dan membaca, serta keadilan sosial dan kemajuan.

Faktor ekonomi dan sosial juga menjadi pendorong besar ke arah kepesatan berkembangnya Islam di Melaka. Sebagai contoh, para pedagang dari Jawa yang berhubungan rapat dengan Melaka telah menyebarkan agama Islam di daerah masing-masing sekembalinya mereka ke tanah air. Di samping itu, kemewahan yang dimiliki oleh saudagar-saudagar Islam telah memikat hati masyarakat tempatan termasuk pihak pemerintah sendiri. Hakikatnya, kejujuran dalam perniagaan dan akhlak yang baik sepertimana yang dianjurkan oleh ajaran Islam itulah yang menjadi titik tolak kepada terpancarnya keindahan islam. Sikap inilah sebenarnya yang menimbulkan keselesaan di antara peniaga dan masyarakat serta pihak pemerintah.

Di sini, pihak pemerintah mengambil tindakan bijak bagi menjamin kemakmuran negeri di mana kestabilan ekonomi diperkukuhkan dengan menjalinkan hubungan persaudaraan yang lebih erat melalui perkahwinan. Melalui perkahwinan, pengislaman terhadap keluarga-keluarga yang berkaitan turut berlaku dengan sendirinya. Umpamanya, Sultan Megat Iskandar Syah yang beristerikan Puteri Sultan Pasai yang beragama Islam telah ditauladani oleh pengikut-pengikut dan rakyatnya kerana hendak mendapat limpah kurnia dari pemerintah dan juga pergaulan masyarakat.

Para pendakwah Islam juga memainkan peranan penting terhadap penyebaran Islam. Sekalipun mereka bukanlah orang pertama yang membawa masuk Islam ke Melaka, namun kedatangan mereka yang disusuli dengan ajaran-ajaran berkaitan Islam telah membantu memesatkan penyebaran Islam. Ini bermakna, Islam yang dibawa tidak bersifat jumud(kaku) iaitu hanya sekadar mengenali Islam tetapi pengetahuan yang mendalam tidak diketahui dan diamalkan.

Pergolakan dan perpecahan politik dan pemikiran agama turut menyumbang kepada penyebaran Islam. Hal ini dapat dilihat apabila Melaka menerima Islam sebagai senjata politik untuk digunakan bagi menentang Majapahit yang beragama Hindu. Di samping itu, kelemahan pengaruh Hindu Buddha dari segi aliran pemikiran yang menjadi panduan hidup orang Hindu banyak yang bertentangan dengan tradisi penduduk tempatan. Maka, keadaan ini menjadi faktor pertukaran agama.

PENGARUH ISLAM DALAM KESULTANAN MELAYU MELAKA

Lazimnya, apabila sesuatu agama itu diterima oleh sesuatu kaum, ianya amat berpengaruh dalam mengubah cara hidup dan berfikir sesebuah kaum tersebut. Setelah kemunculan Islam di Melaka, corak pemerintahan dan cara hidup masyarakat Melayu berubah dari semasa ke semasa selaras dengan tuntutan agama. Lumrahnya, untuk menjadi sempurna itu memerlukan usaha yang gigih dan berperingkat. Begitulah Islam yang diamalkan di Melaka dan di tempat-tempat lain, seseorang itu tidak akan diajar terus kepada ilmu ma’rifat tetapi didedahkan dan difahamkan terlebih dahulu ilmu syariat sebagai asas bagi segala ilmu yang lain.

Maka tidak mustahillah jika berlaku percampuran agama dalam kahidupan masyarakat Melayu yang masih baru menerima dan mengamalkan Islam dalam hidup mereka. Semuanya bermula melalui peringkat tertentu. Hasil perluasan ajaran Islam di Melaka, beberapa perubahan dapat dilihat dalam aspek-aspek yang berikut:-

Aspek Politik dan Pentadbiran

Pertama sekali, kita meninjau dari sudut politik dan pentadbiran. Apabila membincangkan aspek ini, kita lebih tertumpu kepada golongan istana dan pemerintah. Untuk lebih jelas, kita perlu membandingkan antara sistem pemerintahan sebelum kedatangan Islam (Hindu) dengan selepas penerimaan Islam.

Sebelum kedatangan Islam sistem pemerintahan adalah berteraskan ajaran Hindu. Ini kerana Parameswara asalnya beragama Hindu. Pengaruh dewa-raja berlaku dalam pentadbiran. Di dalam ajaran Hindu, raja dianggap sebagai dewa yang mana raja dianggap memiliki kuasa ghaib dan wajib disembah sebagai Tuhan. Di samping itu, Hindu mengamalkan sistem kasta yang membezakan antara golongan atasan dan golongan bawahan. Secara umumnya, kesan daripada sistem ini, berlaku ketidakadilan dari segi cara hidup masayarakat di mana yang kaya bertambah kaya dan yang miskin kekal dengan kemiskinan mereka. Jurang yang hebat di antara golongan atasan dan bawahan ini hakikatnya tidak membawa kepada keamanan, apatah lagi membentuk ketamadunan.

Maka dengan izin Allah, Islam datang ke Melaka untuk dikembangkan kepada masyarakat ketika itu. Penerimaan Islam yang positif oleh golongan pemerintah membuka ruang yang lebih luas untuk di sebarkan. Maka lahirlah Kesultanan Melayu Islam Melaka yang berkonsepkan tauhid dan berlandaskan syariat. Konsep dewa telah ditukar kepada konsep menyembah Allah Yang Maha Esa. Sesuai dengan ungkapan “Awal ad-Din Ma’rifatullah” yang bermaksud “permulaan agama Islam itu ialah mengenali Allah”, masyarakat Melayu diajak untuk mengenal Allah SWT sebagai Tuhan Yang Satu yang wajib disembah. Pengenalan kepada ajaran Islam telah berjaya memanusiakan raja-raja yang dianggap dewa sebelum ini. Islam mengajak umatnya mentaati Allah SWT, mentaati Rasulullah saw dan pemerintah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”
(Al-Quran dan Terjemahannya, surah an-Nisa’:59)

Kesan dari ajaran Islam yang diamalkan, gelaran ‘Raja’ ditukar kepada ‘Sultan’ di mana sultan dianggap sebagai khalifah yang memegang amanah mentadbir manusia di muka bumi. Watak dan peribadi sultan turut berubah kepada seorang yang cintakan ilmu serta gemar mendampingi ulama’ seperti yang dilakukan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mansur Syah.

Sistem kesultanan yang diamalkan ketika itu diambil daripada sistem yang diamalkan oleh Kerajaan Uthmaniyah di Turki. Di Melaka, pentadbiran sultan dibantu oleh pembesar seperti Bendahara, Laksamana, Temenggong dan Penghulu Bendahari. Pada ketika tertentu terdapat jawatan kadi dan fakih. Pemegang jawatan ini dikatakan duduk setara dengan pembesar utama Melaka ketika sultan amat gering. Mereka juga dikatakan berjalan seiring dengan pembesar-pembesar utama ketika sultan berangkat menunggang gajah. Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya golongan ulama’, terutama dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan hukum-hakam Islam dalam sistem pemerintahan.

Sejarah Melayu melalui teknik cerita kiasan atau metafora, menyampaikan suatu konsep atau prinsip Islam yang penting berhubung dengan keadilan pemerintahan, kuasa raja atau pemerintahan dan kedudukan rakyat. Melalui wataknya, Sultan Alauddin Riayat Syah, sultan yang baik dan beriman, dia berpesan kepada anaknya yang bakal menggantinya sebagai raja, demikian bunyinya:

“Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semua terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah engkau segera tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksai baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu…”

Konsep musyawarah atau perbincangan turut diamalkan. Konsep ini merupakan teras untuk mencapai keadilan. Di sini, sultan akan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan para pembesar untuk dicapai kata sepakat dalam membuat sesuatu keputusan. Amalan ini bukan sahaja merupakan sunnah Rasulullah, malah dalam mencapai kata sepakat, Allah SWT mengirimkan rahmat dan barakahNya di atas keputusan yang dibuat. Di situlah pentingnya musyawarah yang membawa kepada kesatuan ummah dan keredaan Allah SWT. Apabila amalan ini dibuktikan melalui penulisan, ia merupakan persetiaan yang standard tentang hubungan antara sultan dan para pembesar. Sejarah Melayu ada mengatakan berkenaan hal ini dengan memetik titah Sultan Alauddin Riayat Syah yang berbunyi:

“…dan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang-orang besar, kerana raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya. Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala”.

Islam turut mengubah cara masyarakat berfikir. Konsep daulat selepas Islam diamalkan merupakan ikatan taat setia terhadap sultan. Contohnya, adat istiadat yang membabitkan budaya istana menggambarkan kedaulatan sultan. Amalan protokol atau hijabah merupakan pengaruh Umaiyah yang diserap dalam sistem pemerintahan. Upacara lafaz taat setia atau bai’ah dilaksanakan dalam pelantikan sultan. Manakala pengganti sultan dilantik sebelum upacara pemakaman sultan dilakukan. Amalan ini sama seperti yang berlaku semasa kewafatan Rasulullah saw.

Seterusnya, sistem kasta yang diamalkan sebelumnya ditukar kepada konsep sama-rata dan adil. Menyedari manusia itu adalah hamba Allah, baik yang kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, maka jurang di antara golongan atasan dan bawahan tidak lagi berterusan. Justeru, jelaslah banyak pengaruh Islam yang telah diserap ke dalam sistem pemerintahan Melayu Melaka yang menyumbang kepada pembinaan tamadun Melayu Islam.


Aspek Perundangan

Pemerintahan tidak akan berjalan lancar tanpa wujudnya undang-undang. Sedangkan Allah SWT yang menciptakan alam ini turut menciptakan undang-undang bagi setiap makhlukNya yang disebut sebagai ‘sunnatullah’, apatah lagi manusia yang bertanggungjawab mentadbir negara dan rakyat. Hanya Allah SWT sahaja yang tidak terikat dengan undang-undang.

Apabila menyentuh berkenaan sistem perundangan di Melaka, tumpuan utama adalah terhadap Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Kedua-dua jenis peraturan inilah yang menjadi panduan dan rujukan pemerintah dan rakyat dalam membentuk keamanan negara pada masa itu.

Tidak dinafikan bahawa pembentukan undang-undang ini lebih berlandaskan hukum adat diawalnya. Namun setelah Islam dijadikan jalan hidup masyarakat Melayu di Melaka, perpindahan urusan tadbir dari seorang pemerintah kepada pemerintah yang baru, ketinggian Islam itu semakin terserlah pada penganutnya terutama terhadap Sultan, maka unsur-unsur adat diselarikan dengan syariat dalam membentuk perundangan.

Risalat Hukum Kanun Melaka digubal dan ditulis atas titah Sultan Muzaffar Shah (1446 – 1456) yang kemudiannya telah disusun dengan lengkap oleh Sidi Ahmad dengan membuat beberapa penyesuaian darihal amalan-amalan adat dan undang-undang warisan leluhur penduduk Melaka dengan undang-undang Islam supaya kedua-duanya tidak bertembung dan bercanggah. Fasal 41 dalam Risalah Hukum Kanun Melaka ada menyebut bahawa selagi ada kemungkinan undang-undang syariat diamalkan, maka undang-undang lain hendaklah dikemudiankan.

Undang-Undang Melaka terbahagi kepada dua iaitu Hukum Kanun Melaka (Undang-undang Negeri) dan Undang-undang Laut Melaka yang terkandung di dalamnya pengaruh Islam dan Hindu. Isi kandungannya meliputi undang-undang Jenayah, Muamalah, Kekeluargaan, keterangan dan Acara.

Undang-undang Jenayah yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Hukum Qisas (bunuh balas), Hukum Hudud dan Hukum Ta’zir. Dalam Hukum Qisas, dinyatakan sesiapa yang mengambil nyawa (membunuh) orang akan dibalas bunuh. Orang Islam yang membunuh orang kafir tidak dikenakan qisas. Dalam soal mencederakan anggota juga akan dibalas perbuatan yang sama dan setimpal. Hala ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan kami Telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (at-Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, Maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”
(Al-Quran dan Terjemahannya, surah al-Maidah:45)

Fasal 17 dalam Hukum Kanun Melaka menjelaskan Hukum Diyat iaitu pembunuh dengan sengaja jika dimaafkan oleh waris akan dikenakan Diyat(denda). Hal ini selari dengan mazhab Shafi’e. Adapun Hukum Hudud berhubung dengan kesalahan zina, qazaf, mencuri, minum arak dan murtad. Sebagai contoh, bagi kesalahan zina, pelaku zina akan direjam sampai mati bagi yang telah berkahwin dan disebat 100 kali bagi yang belum berkahwin sepertimana yang disebut dalam Firman Allah SWT yang bermaksud:

Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
(Al-Quran dan Terjemahannya, surah Nur:2)

Bagi kesalahan Qazaf, pelakunya akan disebat dengan 80 kali sebatan. Bagi kesalahan minum arak pula akan disebat sebanyak 40 kali sebatan. Manakala Hukum Ta’zir dikenakan bagi kesalahan yang tidak dikenakan hudud dan qisas seperti mencuri tetapi tidak cukup nisab. Maka barang yang dicuri akan diminta untuk dipulangkan semula atau digantung di leher dan di arak keliling kampung sebagai pengajaran.

Undang-undang Muamalah berhubung dengan jual beli, riba, sewa dan pinjam meminjam telah dinyatakan dalam fasal 30 Hukum Kanun Melaka. Sebagai contoh, disebut dengan nyata haramnya riba, dan tidak boleh berniaga dengan orang gila.

Undang-undang Keluarga pula berhubung dengan perkahwinan, perceraian, wali talah dan sebagainya. Dalam hal ini semuanya selari dengan hukum Islam. Penglibatan ulama’ dalam soal pentadbiran negeri juga disebut dengan nyata. Ulama’ dan Kadi terlibat aktif dalam soal pertabalan, perkahwinan dan pemakaman seseorang raja atau sultan.

Meskipun pengaruh Islam amat ketara dalam Hukum Kanun Melaka, namun masih terdapat banyak pengaruh Hindu dan adat Melayu yang bertentangan dengan Islam dalam beberapa perkara. Antaranya sultan berada di atas undang-undang (Konsep Dewaraja), hukuman qisas tidak dikenakan kepada sultan atau kerabat di-raja (Peristiwa pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad, yang dikenakan hukuman buang negeri) dan hukuman hudud tidak dikenakan kepada sultan (Sultan Mahmud telah berzina dengan isteri orang tetapi tidak dikenakan hukuman hudud). Diskriminasi dalam undang-undang turut berlaku di mana tidak berlaku persamaan taraf di antara golongan di-raja dan rakyat seperti larangan memakai warna kuning selain sultan.

Ringkasnya, undang-undang adat telah mengalami proses penyesuaian dengan undang-undang Islam, iaitu dengan menghormati, menjunjung dan memberi laluan kepada perundangan Islam serta menjadikannya salah satu sumber utama kepada sistem perundangan tempatan. Pakar perundangan Melayu awal telah mengkelaskan keutamaan pamakaian sumber perundangan mengikut turutan berikut; undang-undang syariat, hukum akal dan undang-undang adat.

Walaupun kadangkala kedua-dua undang-undang adat dan syariat terpaksa diamalkan secara berasingan di tempat-tempat tertentu sekiranya salah satu tidak mahu tunduk di bawah yang lain, namun dengan bimbingan alim-ulama’ telah menambahkan kesedaran masyarakat Melayu peringkat demi peringkat. Natijahnya, undang-undang syariat telah banyak menyumbang dalam menyuci, mentulen serta meletakkan ruh Islam dalam undang-undang adat.

Aspek Ekonomi

Mengikut sejarah, ketokohan Parameswara sebagai seorang pemimpin dan anak Raja Palembang serta menantu Majapahit telah membantu memajukan Melaka. Pada mulanya, Parameswara dan orang-orangnya telah mengadakan sekatan ke atas kapal-kapal pedagang asing yang melalui Selat Melaka supaya singgah di Melaka dan mendapatkan surat-surat kebenaran serta membayar cukai. Maka Melaka mula berkembang menjadi sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan penting antara Timur dan Barat. Ianya juga menjadi pusat perdagangan rempah yang unggul bagi kawasan kepulauan Melayu dan Indonesia, yang dikenali sebagai 'Pulau Rempah Lagenda'. Di kemuncak kegemilangannya, para pedagang dari India, Arab, China dan Siam bertemu di pusat perniagaan ini, membawa teh, kain sutera, kapas, perak, tembikar, gading, permaidani Parsi, barangan loyang, wangian, mutiara, damar dan ganja. Malahan, Maharaja Cina juga menghantar perwakilan ke Melaka sebagai tanda penghormatan, dan begitu juga sebaliknya.

Kepesatan kemajuan Melaka sebagai pusat perdagangan ini bukan sahaja kerana kebijaksanaan Parameswara tetapi juga kerana kedudukan Melaka yang strategik. Kuala Sungai Melaka pada masa itu dalam dan terlindung dari ombak dan angin kencang yang merbahaya. Kapal-kapal perdagangan dari China ke India dan Arab ke Parsi serta sebaliknya singgah berlabuh di Melaka.

Kedatangan Islam hanya memberi suatu kelanjutan terhadap kegiatan ekonomi yang sedia wujud atau sekurang-kurangnya memberi wajah baru atau konsep serta matlamat baru dalam aspek perdagangan dan ekonomi masyarakat Nusantara. Ekonomi Islam di Nusantara bukanlah berkonsepkan kebendaan semata-mata, tetapi keredhaan Allah. Oleh itu segala kegiatan ekonomi sentiasa dipengaruhi oleh hukum yang ditetapkan oleh syarak, sama ada halal atau haram.

Aspek Pendidikan.

Sultan Melaka yang pertama, Megat Iskandar Shah pada tahun 1414M sehinggalah sultan-sultan yang terakhir sebelum tahun 1515M begitu mengambil berat mengenai perkembangan pelajaran dan pendidikan Islam. Bukan sahaja rumah-rumah, masjid dan surau berperanan sebagai pusat pengajian Islam bahkan juga istana-istana sultan. Fungsi istana selain dari tempat belajar dan bermuzakarah ianya berperanan sebagai perpustakaan, tempat penterjemahan dan penyalinan buku-buku. Rakyat digalakkan belajar di mana-mana sahaja pusat pengajian ketika itu dengan memberi penekanan intensif terhadap pengajian al-Quran dan asas agama. Hasil dari kegiatan pengajian Islam yang dipelopori dan diawasi oleh sultan-sultan bukan sahaja dapat menghapuskan buta huruf bahkan dapat melahirkan tokoh-tokoh agama dari kalangan tempatan. Dikatakan Raja Alauddin Riayat Shah (1477 - 1488 Masihi) sendiri adalah seorang ulama.

Pengajian Islam di Melaka sudah sampai ke tahap yang tinggi dan ianya bukan menjadi peringkat pengajian yang semata-mata diletak ke bahu rakyat bahkan golongan raja-raja dan pembesar sama-sama terlibat. Berpunca dari kemajuan ilmu pengetahuan itulah menjadikan Melaka begitu kuat berpegang dengan ajaran Islam di samping menjadi pusat penyebaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara ketika itu.

Pengaruh Islam dalam pemerintahan masyarakat melayu Melaka sebelum penjajahan asing (1400-l51l), merupakan salah satu khazanah penting dalam sejarah Asia Tenggara. Banyak perkara penting telah disumbang kepada pembangunan peradaban bangsa-bangsa Melayu di kawasan Dunia Melayu. Berdasarkan tradisi sosial sebagaimana yang tercatat dalam buku sejarah melayu, ternyata agama Islam menjadi agama rasmi Melaka. Kegiatan politik, sosial, ekonomi, ideologi, undang-undang, ketenteraan dan kepercayaan terarah sesuai dengan agama Islam. Haluan politik kerajaan di Melaka selepas kedatangan Islam adalah berasaskan kepada ciri-ciri politik Islam. Sultan memerintah secara adil, berasaskan kepada hukum Syariah yang berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Jelaslah kemasukan agama Islam telah memainkan peranan penting dari segi mengislamisasikan masyarakat tempatan sehingga berlakulah suatu perubahan besar di dalam kehidupan dan pemikiran masyarakat Melaka secara keseluruhannya. Pemikiran mereka mula berubah iaitu lebih bersifat rasional berbanding zaman pra-Islam. Dengan wujudnya konsep ketuhanan, kekhalifahan, dan keinsanan ini maka konsep dewaraja dan unsur-unsur mitos berbau kehinduan mula berkurangan sedikit demi sedikit. Walaupun tidak dinafikan bahawa unsur-unsur mitos kehinduan ini masih dikaitkan dengan keturunan raja-raja Melayu namun ia telah menjadi semakin berkurangan, tidak dominan dan tidak lagi menjadi fokus utama dalam kehidupan masyarakat Melayu. Apa yang jelas zaman baru ini telah membawa konsep rasionalisme, pengetahuan akliah serta penegasan sistem masyarakat yang berdasarkan kebebasan orang perseorangan, keadilan dan kemuliaan peribadi insan.

No comments:

Post a Comment

ZUNNULMISR

My Photo
"sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahannya.." (al insyirah_6)